Ketua jurulatih Kelantan, Faj Ibrahim memuji kesungguhan para pemain Kelantan meskipun sekadar seri 1-1 menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Malah, beliau juga cukup berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan beberapa pemain muda sepanjang tempoh 90 minit permainan.
“Saya cukup berpuas hati dengan komitmen pemain muda yang diturunkan, mereka menunjukkan persefahaman dan persembahan yang memberangsangkan terutamanya pada separuh masa kedua.
“Walaupun kita ketinggalan pada minit ketujuh, tetapi pemain tidak patah semangat, sebaliknya terus berusaha mendapatkan gol penyamaan sehingga ke saat akhir permainan.
“Sikap mereka yang berjuang sehingga ke penghujung permainan harus dipuji walaupun keputusan malam ini tidak membawa banyak perubahan kepada pasukan dari segi kedudukan dalam carta liga,” katanya kepada Berita Harian.
Sabtu lalu, pemain Kelantan berusia 19 tahun, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menjadi penyelamat buat The Red Warriors (TRW) apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-90, selepas Negeri Sembilan mendahului menerusi jaringan Flavio Junior pada minit ketujuh.
Mengulas lanjut, Fajr akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan memerlukan sedikit masa untuk memantapkan lagi prestasi pasukan selain terus memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi.
“Saya memerlukan masa untuk memantapkan lagi pasukan dan berpandukan kepada keputusan perlawanan ini, kita perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kemenangan dicapai pada aksi akan datang.
“Dengan prestasi dipamerkan bakat muda ini, saya optimis pasukan ini mampu mencatat keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang. Apa yang penting saya harap pemain kekal fokus dan berikan yang terbaik pada setiap perlawanan,” katanya.