Bagi seorang pemain bola sepak, beraksi dalam kejohanan terbaik merupakan salah satu impian mereka. Di peringkat antarabangsa, sudah tentu Piala Dunia menjadi penanda aras manakala Liga juara-Juara Eropah menjadi sasaran bagi aksi bersama kelab.
Bagaimanapun, peredaran waktu sudah pasti menjadi halangan utama seseorang atlet, terutamanya pemain bola sepak. Musim ini, terdapa beberapa pemain yang sudah memasuki hujung karier, sehingga ada yang bakal bersara. Apa yang menarik, mereka telah meraih kejayaan atau beraksi di antara kejohanan terbaik dunia, Liga Juara-Juara. Musim ini, kejohanan itu bakal menjadi penampilan terakhir beberapa pemain. Siapakah mereka?
Gianluigi Buffon
Buffon menjadi pemain paling terkenal kebelakangan ini. Ia disebabkan oleh pengakhiran kempen Liga Juara-Juara yang mungkin menjadi aksi terakhir dengan layangan kad merah yang mencetuskan kontroversi. Sudah berusia 40 tahun, Buffon mungkin bakal bersara pada akhir musim ini dan walaupun penamatnya di Liga Juara-Juara tidak menggembirakan, dia tetap salah seorang penjaga gol terbaik dalam sejarah kejohanan.
Fernando Torres
Pada akhir musim ini, kontrak Torres bersama Atletico Madrid bakal berakhir. Salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki Sepanyol, Torres mengesahkan akan berhijrah sambil beberapa kelab di Asia dan Amerika Syarikat dilaporkan berminat dengan khidmatnya. Pasukannya tidak layak melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini tetapi penampilannya di pentas berprestij itu sentiasa diingati.
Michael Carrick
Pemain tengah bertahan Manchester United ini sudah mengesahkan akan bersara pada akhir musim ini. Berbekalkan satu gelaran Liga Juara-Juara pada musim 2007/08, Carrick pasti mampu berbangga dengan pencapaiannya.
Zlatan Ibrahimovic
Karier pemain sensasi dari Sweden ini hanya kekurangan satu perkara, iaitu tidak pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara. Bagaimanapun, dia terpaksa melupakan hasrat itu apabila berhijrah ke LA Galaxy pada awal tahun ini. Aksinya bersama pasukan gergasi Eropah tetap boleh dibanggakan.
Andrea Barzagli
Bek tengah ini akan tamat kontrak bersama Juventus pada akhir musim 2017/18. Melihat kepada usia yang memasuki 36 tahun, Barzagli mungkin tidak akan beraksi buat The Old Lady pada musim depan, sama ada bersara atau menyarung jersi pasukan lain.
Andres Iniesta
Memegang status sebagai legenda Barcelona, masa depannya bersama pasukan itu tetap masih samar. Tiada perbincangan kontrak baru sehingga kini sambil perpindahan ke Liga Super Cina semakin berpeluang untuk berlaku. Bagaimanapun, pencapaiannya di Liga Juara-Juara tentunya membanggakan.
Iker Casillas
Seperti Buffon, Casillas adalah salah seorang penjaga gol terbaik pernah wujud di Liga Juara-Juara. Apa yang membezakan mereka adalah Casillas pernah menjulang trofi itu sebanyak tiga kali. Pada November lalu, Casillas menjelaskan kariernya sudah tiba ke penghujung dan saingan Liga Juara-Juara pada musim ini adalah yang terakhir untuknya.
Vincent Kompany
Sering mengalami masalah kecederaan, prestasi kapten Manchester City ini sudah menurun. Melihat kepada tindakan City dan Pep Guardiola yang tidak berdepan masalah untuk berbelanja besar, Kompany mungkin menjadi korban untuk pembelian baru musim depan. Agak menyedihkan kerana laluannya di Liga Juara-Juara pada musim ini tidak begitu menarik.
Thiago Motta
Pemain tengah bertahan Paris Saint-Germain (PSG) dari Itali ini akan tamat kontrak pada musim ini. Laporan di Perancis mengatakan PSG tidak akan memperbaharui kontrak pemain berusia 36 tahun ini. Kariernya di Liga Juara-Juara agak hebat, apabila menjulang trofi itu sebanyak dua kali, sewaktu bersama Barcelona dan Inter Milan.
Yaya Toure
Kontrak Toure bersama Manchester City akan tamat pada akhir musim ini dan besar kemungkinan dia tidak akan beraksi di Etihad pada musim depan memandangkan dia bukan pilihan Pep Guardiola. Dia juga mungkin akan bersara pada tahun ini. Walaupun tidak berjaya membantu City meraih trofi Liga Juara-Juara, dia pernah menjulangnya ketika di Barcelona pada musim 2008/2009.