Malaysia Liga Super Malaysia

PKNS tekad mahu lebur rekod positif JDT di Larkin

Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid beranggapan pasukan kendalian K. Rajagobal itu berhadapan lawan yang sukar apabila turun menentang JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Walaubagaimanapun, katanya, PKNS FC tidak akan memberi laluan mudah begitu sahaja kepada JDT sebaliknya akan cuba mencuri mata di gelanggang keramat mereka.

“Kami akui JDT terlalu kuat di kubu mereka, mereka sudah lama tidak tewas di sana. Jadi kita jangka perlawanan ini agak sukar. JDT sendiri tampak fokus sepenuhnya kepada liga dengan merehatkan beberapa tonggak utama ketika berdepan Persija Jakarta.

“Apapun, kami akan cuba untuk meraih mata, kalau boleh tiga mata, tapi saya rasa dengan perlawanan ini, jika kami boleh seri pun sudah bagus. Cuma kalau dapat tiga mata itu bonus,” katanya kepada Berita Harian.

Sejak 2014, PKNS FC tidak pernah menang sekali pun ke atas JDT dengan keputusan terbaik hanya seri 1-1 dan 2-2 dalam saingan Piala Malaysia 2016.

PKNS FC kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dan berkongsi dua mata bersama pasukan tangga kedua, Pahang yang memiliki kelebihan jaringan.

Dalam pada itu, Mahfizul juga yakin para pemainnya berada pada tahap terbaik ketika ini meskipun kehilangan sentuhan Mahali Jasuli yang tidak dapat diturunkan kerana mempunyai perjanjian bersama JDT.

“Kami melakukan banyak pertukaran pemain sebelum ini. Walaupun ketiadaan Mahali, tapi kami yakin tugas itu boleh digalas pemain lain yang akan dipilih jurulatih.

“Memang kami ada peluang untuk menang dan pintas JDT, tapi kita perlu lihat kepada realiti. Bagi kami, JDT tetap menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut,” katanya.