Perlawanan Klang Valley Derby semalam berlangsung dengan ‘panas’. Terjahan keras dan permainan mental berlangsung dalam perlawanan tersebut.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel telah diarahkan keluar oleh pengadil perlawanan selepas satu insiden berlaku selepas tamat separuh masa pertama. Fabio dilihat bertengkar dengan ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah dan kelihatan seakan-akan mencekiknya.
Fabio dalam sidang media selepas perlawanan telah menyelar tindakan Amri itu dan menyatakan pemain Selangor itu ‘kurang ajar’.
“Pada rehat separuh masa pertama saya pergi bercakap kepada pemain nombor 17 (Amri), saya tidak tahu namanya tetapi pemain ini perlu lebih beradab. Ini bukan sikap yang sepatutnya bagi seorang pemain. Dalam bolasepak, hari ini anda ketawa, tetapi kemudian anda menangis. Hari ini anda ketawa, tetapi perlawanan seterusnya sama ada menentang kami atau pasukan lain, anda akan menangis.
“Saya sering memberitahu pemain saya bahawa dalam bolasepak anda mesti bermain sebaik mungkin, tetapi dengan rasa hormat, kerana kita tidak tahu mungkin di masa hadapan kita akan beraksi dalam pasukan yang sama dengan pihak lawan hari ini. Jika dia berada dalam pasukan saya, saya akan suruh pengurusan menolak gaji dia!
“Saya memberitahu dia pada separuh masa, ‘hey, main bolasepak, hormat orang lain’ dan dia membalas dengan kata-kata kurang sopan. Saya mendekatinya dan meletakkan tangan di lehernya serta menolaknya sedikit dan dia bertindak balas dengan menjatuhkan diri.”
Dalam permainan bolasepak, akan sentiasa ada figura seperti Amri. Seorang pemain yang bijak mempermainkan emosi pihak lawan. Ada kalanya ia menjadi, ada kalanya ia terkena kepada diri sendiri.
Fabio selepas ini perlu lebih tenang dan tidak termakan kepada permainan psikologi seperti ini. Pemain-pemainnya juga perlu lebih kuat mental dan tidak termakan dengan provokasi ketika perlawanan.
Apa yang perlu dilakukan Fabio sekarang adalah menaikkan semangat anak-anak buahnya untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Pahang. Adalah lebih baik untuk Kuala Lumpur fokus dalam misi mereka untuk terus kekal dalam saingan Liga Super Malaysia dan siapa tahu mungkin membalas dendam kepada Selangor di saingan Piala Malaysia?