Liga Super Malaysia

SEA WEEKLY BEST XI: Kesebelasan terbaik mingguan Asia Tenggara (Mac 27-April 2)

Salam sejahtera, para pembaca Football Tribe sekalian!

Minggu lepas, kami mendedahkan konten terbaru Football Tribe, iaitu ‘Southeast Asia Weekly Best XI’ ataupun Kesebelasan Terbaik Mingguan Asia Tenggara!

Kini, kami kembali dengan edisi kedua artikel ini, yang memaparkan sebelas pemain terbaik di Asia Tenggara, sepanjang minggu lepas. Senarai ini dibina melalui kolaborasi antara panel penulis kami di seluruh rantau ini.

Berikut adalah senarai 11 pemain yang terpilih dalam edisi kedua Kesebelasan Terbaik Mingguan Asia Tenggara:

Penjaga Gol: Nguyen Tuan Manh (Sanna Khanh Hoa - Vietnam)

Nguyen Tuan Manh bermain dengan cemerlang untuk membantu Vietnam mencuri satu mata ketika bertemu Jordan tempoh hari. Dia turut menjadi antara pemain terbaik Sanna Khanh Hoa sebelum itu, walaupun tewas 0-1 di tangan HCM FC.

Pertahanan: William Nyakwe (Shan United - Myanmar)

Shan United sekali lagi mencatat 'clean sheet' dalam kemenangan 2-0 mereka ke atas Rakhine United tempoh hari dan Willim Nyakwe muncul sebagai pemain terbaik Shan dalam perlawanan itu.

Pertahanan: Dinh Tien Thanh (FLC Thanh Hoa - Vietnam)

Bekas pemain skuad kebangsaan Vietnam ini tampil dengan aksi agresif untuk membantu Dinh Tien Thanh mencipta kemenangan penting ke atas pasukan gergasi Vietnam, Song Lam Nghe An.

Pertahanan: Simone Rota (Filipina)

Filipina berjaya mencipta sejarah dengan kemenangan 2-1 ke atas Tajikistan tempoh hari dan Simone Rota memainkan peranan yang cukup besar dalam perlawanan tersebut, terutamanya selepas Villanueva dikenakan kad merah.

Tengah: Tran Minh Vuong (Hoang Anh Gia Lai - Vietnam)

Bintang Vietnam ini menjaringkan gol yang cantik untuk membantu HAGL melakar kemenangan pertama mereka di pentas V.League

Tengah: Jitpanya Tisut (PT Prachuap F.C. - Thailand)

PT Prachuap sekali lagi mencipta kemenangan minggu lepas dan Jitpanya Tisut muncul sebagai pemain terbaik mereka di atas padang. Dia turut menjaringkan gol sepakan percuma yang menarik untuk membantu pasukannya menewaskan Air Force Central FC.

Tengah: Nazmi Faiz (Johor Darul Ta'zim - Malaysia)

Selepas sekian lama senyap, Nazmi Faiz kembali meletup untuk skuad kebangsaan Malaysia minggu lepas. Dia bermain dengan rajin walaupun Malaysia tewas 1-2 menentang Lebanon, sebelum memainkan peranan yang besar untuk membantu skuad Tan Cheng Hoe membelasah Bhutan 7-0.

Tengah: Iain Ramsay (Felda United - Filipina)

Tonggak utama Felda United ini menunjukkan persembahan yang cemerlang untuk membantu skuad kebangsaan Filipina mencipta sejarah di Manila tempoh hari. Ramsay mencipta 'assist' untuk gol kemenangan Kevin Ingresso, yang sah membawa Filipina ke pentas Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Penyerang: Zaquan Adha (Kuala Lumpur - Malaysia)

Penyerang skuad City Boys dipanggil semula ke skuad Malaysia minggu lepas dan dilantik kapten oleh Tan Cheng Hoe. Selepas menjadi seorang pemimpin di atas padang ketika mereka tewas tipis 1-2 di tangan Lebanon, Zaquan menjaringkan empat gol untuk membantu Malaysia menumpaskan Bhutan 7-0 di Bukit Jalil.

Penyerang: Marko Simic (Persija Jakarta - Indonesia)

Penyerang Croatia terus menjadi bintang skuad Persija. Minggu lepas, Simic menjaringkan dua gol untuk membantu Persija menewaskan Arema FC dan mencatat kemenangan pertama mereka di pentas Go-Jek Liga 1 2018.

Penyerang: Aung Thu (Police Tero F.C - Thailand)

Bintang Myanmar ini mencuri tumpuan orang ramai minggu lepas dengan dua gol dan dua assist untuk membantu Police Tero FC meraih kemenangan pertama mereka di laman sendiri.

Anda setuju dengan barisan pemain yang dipilih oleh panel kami? Kongsikan pandangan anda di laman rasmi Facebook Football Tribe Malaysia!