Malaysia Liga Super Malaysia

5 sebab Harry Novillo merupakan pembelian yang tepat bagi Johor Darul Ta’zim

Apabila jendela perpindahan dibuka pada bulan Mei nanti, dua bintang baru akan menyarung jersi Johor Darul Ta’zim. Identiti penyerang yang akan menggantikan Luciano Figueroa masih belum didedahkan, namun pemain yang bakal mengambil posisi Jorge Pereyra Diaz telahpun diumumkan, iaitu Harry Novillo.

Bekas pemain Melbourne City dan Lyon itu sudah pun mengesahkan perpindahan tersebut melalui platfom media sosial, manakala JDT turut membuat pengumuman rasmi berkenaan penyerang yang kini bermain untuk Baniyas Club di Dubai.

“Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City serta sedang bermain di Dubai ketika ini. Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti,” kata Martin Prest, Pengarah Sukan JDT.

Selepas berita ini disahkan, kami menghubungi Paul Williams, penulis bolasepak yang berpangkalan di Australia, untuk memahami gaya permainan Harry Novillo dengan lebih teliti. Dan menurut Paul, Novillo merupakan pembelian yang tepat bagi JDT.

“Saya sebenarnya tidak memahami keputusan Melbourne City untuk melepaskan Novillo pada tahun 2016 kerana dia antara pemain terbaik dalam pasukan mereka pada waktu itu,” kata Paul.

Berikut adalah senarai lima sebab Novillo merupakan pembelian yang tepat untuk JDT:

GEMAR MENGGELECEK BOLA

Walaupun skuad JDT dipenuhi dengan barisan pemain-pemain bintang, namun mereka tidak mempunyai seorang pemain yang gemar menggelecek bola, apabila berdepan dengan pertahanan lawan. Menurut Paul Williams, Harry Novillo adalah seorang pemain yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk menggelecek dan melepasi mana-mana pemain pertahanan yang cuba mengekang lariannya. Pada waktu ini, hanya Safawi Rasid boleh dikatakan sebagai pemain JDT yang pandai menggelecek bola, jadi ketibaan Novillo akan mempelbagaikan kombinasi serangan yang mampu digunakan oleh JDT.

MENTALITI BESAR

Jika TMJ sering menjadi 'poster boy' bagi mentaliti Johor DT di luar padang, Harry Novillo mampu menjadi ikon mentaliti mereka di atas padang. Novillo mempunyai sejenis keangkuhan dalam corak permainannya dan dia sering suka meraikan jaringan gol dengan tarian-tarian menarik. Ini merupakan aspek-aspek yang menjadikan Novillo cukup efektif dalam perlawanan besar kerana dia tidak mengalami sebarang masalah untuk berdepan dengan situasi tekanan tinggi.

GAYA PERMAINAN YANG MENARIK

Kali terakhir JDT mempunyai seorang pemain yang mampu mencuri tumpuan penyokong dengan mudah adalah Patito Rodriguez. Menurut Paul Williams, Novillo turut mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Rodriguez. "Di Melbourne City, Novillo tampil sebagai antara pemain yang paling seronok untuk disaksikan oleh penyokong kerana dia sering menunjukkan skil-skil berbeza di atas padang. Dia seorang pemain yang suka menghiburkan penyokong."

BIJAK MEMBINA GANDINGAN

Walaupun bijak bermain secara solo, Novillo gemar mencipta gandingan dengan satu atau dua rakan sepasukannya, kerana ia turut membantunya menyerlah dengan lebih bagus. Di Melbourne City, Novillo mencipta gandingan yang mantap dengan Aaron Mooy dan juga Bruno Fornaroli dan gabungan tiga serangkai ini menjadikan Melbourne City antara pasukan yang paling bahaya di A-League pada waktu itu. Aspek ini amat diperlukan oleh JDT, terutamanya jika mereka mahu memberi saingan sengit di pentas Liga Juara-Juara Asia tahun depan.

GOL, GOL, GOL

Walaupun beroperasi sebagai seorang pemain sayap, Novillo sentiasa mencari ruang untuk membuat percubaan. Di A-League, Novillo berjaya menjaringkan 10 gol dalam 21 matches, sebuah rekod yang cukup positif untuk seorang pemain sayap. Lebih mengagumkan lagi, Novillo sudah meledak 10 gol dalam 13 perlawanan untuk Baniyas Club di Dubai musim ini. Ketibaan Novillo bukan sahaja memberi mereka lebih pilihan di bahagian serangan, malah ia turut menjanjikan rekod jaringan gol yang konsisten - antara perkara yang akan membantu JDT di pentas Piala AFC musim ini.