Malaysia berjaya mencipta kemenangan pertama di pentas antarabangsa sejak Disember 2016 selepas menewaskan Bhutan 7-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Hanya lima hari selepas tewas 1-2 menentang Lebanon di Beirut, anak buah Tan Cheng Hoe tampil dengan aksi yang bertenaga malam ini, dan berjaya menjaringkan lima gol pada babak pertama, sebelum menambahkan dua lagi gol pada babak kedua.
Berikut adalah Tribe Ratings yang diberikan oleh penulis kami kepada setiap pemain Malaysia yang beraksi malam ini.
Penjaga Gol: Khairul Fahmi (8/10)
Tidak teruji disebabkan penguasaan Malaysia. Tetapi berjaya menyelamatkan gol apabila diperlukan selepas hantaran lemah Irfan Zakaria menemui penyerang Bhutan. Apek bijak menutup ruang dan mengelak daripada dibolosi.
Bek Kanan: Ariff Farhan (8/10)
Berganding dengan baik bersama Wan Zack di bahagian kanan. Di saat Wan Zack menjadi perhatian pertahanan Bhutan, Ariff Farhan seakan-akan menggantikan Wan Zack menjadi pemain sayap dan cuba membuat hantaran lintang mencari penyerang. Dominasi Malaysia membuatkan Ariff Farhan tidak perlu khuatir bertahan dan bermain lebih menyerang.
Pertahanan: Irfan Zakaria (8/10)
Di sebalik satu kesilapan hantaran ke belakang, Irfan bertahan dengan baik dan sekali sekala membuat hantaran jauh daripada belakang. Berjaya membuka akaun jaringan untuk Malaysia dalam penampilan keduanya bersama skuad senior selepas menanduk masuk sepakan penjuru.
Pertahanan: Shahrul Saad (8/10)
Malam yang tenang untuk pemain Perak ini. Bertahan dengan baik dan memberikan masalah kepada bahagian pertahanan Bhutan ketika sepakan penjuru dan sepakan percuma.
Bek Kiri: Nazirul Naim (7/10)
Malaysia dilihat lebih banyak bermain di bahagian kanan, tetapi apabila Malaysia bermain di sebelah kiri, Nazirul memberikan pilihan dari segi serangan dengan larian overlapping dan berganding baik dengan Akhyar Rashid.
Tengah: Mahali Jasuli (7/10)
Selesa dengan bola tetapi mungkin kurang dari segi visi untuk bermain di bahagian tengah. Tetapi menggunakan skilnya dengan baik untuk bergandingan dengan Nazmi dan Akram di bahagian tengah.
Tengah: Akram Mahinan (8/10)
Kalau dalam perlawanan menentang Lebanon dia perlu berkerja keras untuk bertahan, menentang Bhutan dia perlu banyak membantu serangan. Kerajinannya membantu menyumbang untuk gol ketiga Zaquan Adha.
Tengah: Nazmi Faiz (9/10)
Nazmi akhirnya menunjukkan persembahan yang baik sebagai pemain nombor 10. Rajin mencari bola dan merancang gerakan untuk membuka bahagian pertahanan Bhutan.
Sayap Kanan: Wan Zack Haikal (8/10)
Membuka jaringan untuk Malaysia. Pemain Felda United ini lebih menyerlah berbanding Akhyar di babak pertama. Larian dan gelecekannya mengucar ngacirkan pertahanan Bhutan. Dijatuhkan oleh pemain Bhutan yang menghadiahkan sepakan penalti untuk gol kedua Malaysia yang dijaringkan Zaquan Adha.
Sayap Kiri: Akhyar Rashid (7/10)
Berani dan menakutkan. Memikirkan Akhyar yang masih muda tetapi bermain mengatasi usianya, akan menakutkan pasukan lawan di masa hadapan. Walaupun kurang menyerlah berbanding Wan Zack di separuh masa pertama, tetapi menjadi tumpuan Bhutan yang sudah mengenali kehebatan bintang muda Kedah ini.
Penyerang: Zaquan Adha (10/10)
Selepas sekian lama tidak menjaringkan gol untuk Malaysia, ketua pasukan Malaysia ini terus menjadi teladan buat rakan sepasukan dengan menjaringkan empat gol. Turut menyumbang hantaran kepada Wan Zack yang membuka jaringan untuk Malaysia.
SIMPANAN
Syafiq Ahmad (7/10)
Menggantikan Akhyar di separuh masa kedua. Dengan Zaquan yang menjaringkan empat gol, Syafiq perlu berkerja keras untuk merebut tempat sebagai penyerang. Memberikan pilihan lain dengan kemahirannya menanduk bola dan berjaya menjaringkan gol ketujuh Malaysia dengan tandukan menerusi sepakan penjuru.
Nor Hakim Hassan (7/10)
Menggantikan Mahali Jasuli. Berganding baik dengan Kogi dan Syafiq Ahmad di bahagian serangan.
Syazwan Andik (7/10)
Caps pertama untuk Syazwan. Menggantikan Nazirul Naim pada minit ke-60. Hantarannya menerusi sepakan penjuru berjaya menemui Syafiq Ahmad yang menanduk masuk gol ketujuh Malaysia.
Kogileswaran Raj (7/10)
Menggantikan Zaquan Adha. Cukup kreatif dan tenang. Boleh menjadi pilihan sebagai pemain nombor 10 di belakang penyerang. Namun banyak terlepas peluang menarik.
Shahrel Fikri. (-)
Masuk menggantikan Wan Zack Haikal.
Muhammad Syahmi Safari (-)
Masuk menggantikan Ariff Farhan.