Piala Dunia 2018 Berita

Bintang Arab Saudi bakal menjalani latihan bersama Man Utd di Carrington

Penyerang Arab Saudi Mohammad Al-Sahlawi akan menjalani latihan bersama Manchester United di pusat latihan mereka yang berpangkalan di Carrington selama tiga minggu.

Perkara ini diumumkan oleh pengerusi General Sports Authority Arab Saudi (GSA), Turki Al Sheikh yang turut mendedahkan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada kerjasama jangka-masa panjang di antara GSA dan Manchester United.

“Suka cita saya umumkan bahawa Manchester United bersetuju untuk menerima kunjungan Al-Sahlawi bagi program latihan selama tiga minggu,” kata Turki Al Sheikh.

Tujuan program tiga minggu ini adalah untuk memberi pendedahan yang bagus kepada Al Sahlawi, sebelum dia menyertai latihan pusat skuad kebangsaan Arab Saudi untuk Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Russia. Namun, bintang Al-Nassr itu hanya akan berlepas ke Manchester pada April 12, selepas tamat saingan liga bolasepak Arab Saudi.

Al-Sahlawi memulakan kariernya bersama skuad muda Al-Qadisiya pada tahun 2003, sebelum bermain untuk skuad senior pada tahun 2005. Empat tahun kemudian, dia berhijrah ke Al Nassr untuk 8 juta USD, sekaligus menjadi pemain termahal di Arab Saudi pada waktu itu.

Dia menjadi sebahagian daripada skuad Arab Saudi yang turun menetang Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Dnia pada tahun 2015 dan 2016. Ketika perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Al-Sahlawi menjaringkan gol kedua Arab Saudi, sebelum perlawanan tersebut dihentikan ekoran insiden letupan mercun dan pembakaran ‘flare’.

Beberapa bulan kemudian, Al-Sahlawi kembali merobek gawang mereka dengan satu lagi gol untuk membantu Arab Saudi meraih kemenangan 2-0 ke atas skuad Harimau Malaya di Jeddah.