Luar Negara Eropah

Enam pemain bolasepak yang diabadikan pada tempat ketika masih beraksi

Banyak nama tempat yang diambil menerusi nama bintang bola sepak yang telah bersara atau meninggal dunia. Bagaimanapun, terdapat juga beberapa tempat yang menggunakan nama pemain yang masih aktif beraksi.

Berikut adalah sebahagian daripada mereka:

Jalan Park Ji-Sung

Nama Park Ji-Sung digunakan pada sebuah jalan di kampung halamannya, Suwon. Namanya digunakan sebagai tanda menghormati jasa bekas bintang Manchester United itu yang membawa Korea Selatan ke separuh akhir Piala Dunia 2002. Bagaimanapun, nama jalan itu dipersoalkan oleh pemerintah setempat dan akhirnya diubah kepada Dongtanjiseong sehingga kini.

Pusat Steven Gerrard

Pada tahun 2008, legenda Liverpool, Steven Gerrard, bersetuju dengan cadangan menggunakan namanya pada sebuah pusat beli-belah. Apa yang menarik, pusat tersebut bukan terletak di England tetapi di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tetapi sehingga kini, projek yang menelan kos 225 juta dollar itu masih belum siap dibangunkan walaupun bekas pemain England itu menerima sebuah rumah bernilai 1.8 juta dollar sebagai bayaran atas penggunaan namanya.

Bandar dan galaksi Cristiano Ronaldo

Selepas mengetuai skuad Portugal meraih kejuaraan Eropah pada 2016, nama Cristiano Ronaldo telah digunakan sebagai sebuah kota udara di Madeira. Namanya juga digunakan bagi alam semesta. Sekumpulan astronomi telah menemui sebuah galaksi baru yang diberi nama Cosmos Redshift 7 tetapi disebabkan istilah "CR7" telah digunakan Ronaldo, galaksi itu kini dikenali "Galaksi Cristiano Ronaldo".

Stadium Fernando Torres

Kebiasaannya, nama sebuah stadium diambil sempena nama seorang legenda buat pasukan tetapi senario berbeza berlaku apabila kelab berpangkalan di Madrid, Fuenlabrada, memilih untuk menamakan stadium mereka dengan nama Estadio Fernando Torres. Bekas penyerang Chelsea dan Liverpool itu tidak pernah mewakili pasukan tersebut, namun dia dianugerahkan sebegitu kerana membesar di salah satu pinggiran di kawasan itu.

Gereja dan stadium Diego Maradona

Bagi rakyat Argentina, Diego Maradona adalah pemain bola sepak terhebat yang pernah mereka miliki sehingga membuatkan beberapa kumpulan masyarakat di sana mewujudkan sebuah agama khas untuk menyembah legenda di Gereja Maradona. Selain itu, kelab Argentinos Junior yang merupakan kelab pertama dalam karier Maradona juga menggunakan nama bekas bintang Napoli itu pada stadium mereka.

Lebuhraya Tim Cahill

Tim Cahill mencetuskan satu fenomena buat bola sepak Australia sehingga lebuhraya di sana menggunakan namanya. Bagaimanapun, lebuhraya yang berdekatan dengan Sydney harbour itu hanya menggunakan namanya untuk sementara pada 2014. Kebetulan, ia sebenarnya menggunakan nama pemimpin New South Wales, John Cahill, pada era 50 an.