Luar Negara Eropah

Tiada ikon serangan balas yang lebih unik daripada Freddie Ljungberg

Kota Berlin, Jerman terkenal dengan pelbagai perkara, antaranya adalah perbualan orang ramai di tengah-tengah keriuhan di dalam bar sehingga menerbitkan rasa yang sangat dalam. Begitu juga pada minggu lalu apabila saya dan seorang rakan berbicara mengenai kehebatan bekas tonggak Arsenal, Freddie Ljungberg. Saya tidak pasti bagaimana nama itu boleh muncul dalam perbualan tersebut tetapi yang pasti, pemain tengah itu berlegar-legar di minda semasa sebuah pasukan tempatan, SFC Friedrichshain Internazionale, naik ke puncak liga dengan kelebihan enam mata selepas meraih kemenangan 7-1.

Bagi saya, Ljungberg adalah satu contoh terkecuali dalam pergerakan tanpa bola, sesuatu yang sering dilakukan oleh kebanyakan penyerang di dunia. Jika ditolak nama Zlatan Ibrahimovic, Sweden sering dipandang rendah oleh pasukan bola sepak dunia yang lain walaupun perlu diingat bahawa Ibrahimovic telah menjadi ejen kepada dirinya sendiri untuk membuatkan seluruh dunia mengenalinya. Begitu juga dengan Henrik Larsson yang turut tidak dapat meraih pujian yang selayaknya, sama seperti Ljungberg.

Tatkala Larsson dikenali dengan penyudah di gawang, Ljungberg mencapai tahap tertinggi di dalam karier berlandaskan satu konsep, iaitu larian yang sering dilakukan menghampiri kubu lawan. Ia adalah satu pergerakan yang anda boleh pelajari tetapi hanya pemain bola sepak tulen yang dapat melakukannya, sama seperti seorang chef sudah maklum untuk meletakkan herba dalam masakan. Tidak disangkal, jika berbicara soal pergerakan tentunya Ljungberg merupakan seorang pakar, profesor di dalam kotak penalti dan lebih tepat, mahaguru serangan balas.

Pada mulanya, keistimewaan itu tidak dapat dikesan. Ketika mula menyertai Arsenal, Ljungberg lebih pantas dikenali dengan fesyen rambut berwarnanya sehingga memberikan pengaruh besar kepada anak-anak muda pada masa itu. Dia tidak begitu dilihat walaupun memiliki kadar kerajinan yang tinggi sewaktu latihan dan semestinya, itu adalah keperluan yang wajar dipenuhi oleh setiap pemain sayap dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Rekod jaringannya dalam dua musim pertama juga tidak begitu hebat apabila mencatatkan kadar gol yang rendah berbanding rakan sepasukannya dalam lima perlawanan untuk Gunners tetapi musim 2001/02, segalanya bermula.

Kredit Foto: Getty Images

Ljungberg merakamkan 17 gol hasil daripada 39 perlawanan, menjadi penggempur utama disebalik watak arkitek di atas padang yang dipegang oleh Dennis Bergkamp. Dia sering muncul ketika bintang Belanda itu melakukan serangan atau percubaan ke pintu gol lawan, memberikan ancaman serta mimpi ngeri kepada barisan pertahanan. Jaringannya sama seperti lariannya, sentiasa hadir dalam setiap perlawanan, termasuk yang paling diingati ketika bertemu West Ham United pada penghujung April 2002. Ketika itu, Arsenal sedang giat memburu kejuaraan liga. Mereka gagal menembusi kubu lawan sehinggalah barisan bimbingan Glenn Roeder melakukan kesilapan dan menghadiahkan Gunners sepakan percuma. Bergkamp pantas melakukan hantaran dari jarak 40 ela dari gol dan Ljungberg tenang menyudahkan, seperti apa yang sering dilakukan sebelum itu.

Saya tidak pasti dimana Ljungberg mempelajari teknik untuk membuatkan benteng di England membencinya tetapi pada tahun tersebut dia telah membuktikan kepakarannya. Saya mempelajari rahsianya ketika bermain sebagai pemain tengah bertahan selama dua tahun dalam saingan Liga Ahad; menyaksikan larian yang kebiasaannya menghadirkan penyerang dalam kelajuan yang penuh, melainkan anda rela untuk menarik mereka atau menghalang laluan. Menentang West Ham, Ljungberg menghukum kealpaan pertahanan lawan dengan pembacaan bijak terhadap hantaran ke depan Bergkamp, seperti seorang bapa yang memasukkan dos ubat untuk anaknya yang sakit. Ljungberg memulakan pendahuluan, mengesahkan kejuaraan.

Saya terfikir bagaimana jika Ljungberg masih beraksi pada hari ini. Saya suka untuk menggambarkannya mewakili pasukan seperti Atletico Madrid, bermain di bawah kendalian Diego Simeone, jarang mencatat jaringan tetapi sentiasa menghampakan penyokong lawan. Selain daripada fesyen rambut, ada sesuatu keistimewaan yang diraih Ljungberg dan amat ditagih Arsenal ketika ini. Selepas perbualan di Berlin, saya sedar mungkin itu yang diperlukan oleh Gunners sekarang. Semangatnya.

Oleh Musa Okwonga
(www.tifofootball.com)