Malaysia Berita

Ekslusif: Kiko Insa tidak sabar untuk menyarung jersi Harimau Malaya bersama Natxo

Suatu ketika dahulu Belanda mempunyai kembar adik beradik De Boer dan England pula mempunyai adik beradik Neville. Kini Malaysia mempunyai adik beradik Insa.

Setelah menolak panggilan terdahulu, Natxo Insa akhirnya tersenarai ke kem latihan skuad kebangsaan bersama adiknya, Kiko Insa. Berbeza dengan Natxo, Kiko telah menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun lalu selepas berpindah ke Pahang dari Bali United.

Kiko sebelum ini memang tidak sabar untuk beraksi dengan abangnya dan menyatakan Natxo merupakan pemain terbaik di Malaysia buat ketika ini.

“Ianya lebih daripada mimpi. Kami tidak pernah bermain bersama, tapi kami banyak menentang antara satu sama lain dengan pasukan masing-masing. Kali ini, jika ia berlaku, ianya akan menjadi detik indah dan bersejarah yang kami tidak akan lupakan. Bayangkan dua beradik beraksi bersama dan mewakili negara kita, ianya memang menakjubkan,” kata Kiko ketika dihubungi Football Tribe.

Natxo menjadi tunjang kejayaan Johor Darul Ta’azim pada musim lalu selepas sekian lama beraksi di Sepanyol bersama kelab-kelab ternaman di sana. Natxo pernah beraksi untuk Valencia, Villarreal, Celta Vigo, Zaragoza dan Levante sebelum ke Malaysia.

Kiko pula sudah lama berhijrah ke Asia Tenggara. Pada tahun 2015 dia berpindah ke Indonesia untuk beraksi bersama Arema dan tahun berikutnya dipinjamkan ke Bali United. Selepas beraksi untuk Pahang musim lalu, Kiko menjadi satu-satunya pemain di Liga Thailand dengan menyertai Bangkok Glass.

Antara sebab Kiko menerima tawaran Bangkok Glass adalah peluang untuk bermain di posisi kegemarannya, iaitu di bahagian pertahanan tengah. Dan bekas pemain Pahang itu berharap barisan kejurulatihan skuad kebangsaan akan turut menggunakannya di posisi tersebut.

“Saya percaya beliau (Tan Cheng Hoe) tahu bahawa saya lebih selesa bermain sebagai pemain pertahanan, berbanding dengan posisi ‘defensive midfielder’. Walau bagaimanapun, saya akan menyertai latihan skuad kebangsaan dengan hati yang terbuka kerana tujuan saya berada di sana adalah untuk membantu pasukan kebangsaan. Jadi, saya akan tetap memberi 100% di atas padang, tidak kira posisi mana yang diberikan kepada saya,” tambah Kiko.

Kedua-dua pemain, Kiko dan Natxo layak beraksi untuk Malaysia kerana bapa mereka merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Sabah. Dengan kreativiti Natxo dan kekentalan Kiko, mungkin Malaysia bakal memberikan persembahan mantap dalam perlawanan menentang Mongolia nanti.

Untuk menyaksikan setiap perlawanan Liga Thai 1 yang melibatkan Kiko Insa dan Bangkok Glass, sila layari laman web rasmi SportsFix.tv