Pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah, kini sedang menikmati musim yang hebat. Tidak kira ketika beraksi buat The Kop atau skuad kebangsaan Mesir, Salah sentiasa menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan. Sejak tiba di Anfield, dia sudah mencatt 32 gol dan 11 bantuan jaringan daripada 40 perlawanan sementara menjadi watak utama dalam membawa The Pharaohs layak ke Piala Dunia 2018.
Prestasi terpuji yang dipamerkan Salah jelas telah mengubah harga pasarannya. Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh International Centre for Sports Studies (CIES), Salah muncul pemain yang menerima lonjakan harga paling tinggi, iaitu bertambah sebanyak 74.7 juta EURO sejak enam bulan terakhir. Nilainya ketika tiba di England buat kali kedua dianggarkan 88.1 EURO tetapi kini sudah mencecah 162.8 juta EURO.
Perubahan harga tersebut tentunya memeranjatkan banyak pihak kerana melibatkan skala yang besar tetapi jika melihat kepada sumbangannya kepada Mesir dan Liverpool, ia boleh diterima kerana sudah pasti khidmatnya kini diintai banyak pasukan. Baru-baru ini, kelibatnya telah menarik perhatian Real Madrid dan gergasi Sepanyol itu dilaporkan sedang berkira-kira untuk memulakan proses mendapatkan bekas pemain sayap AS Roma dan Chelsea itu.
Pemain yang menduduki tangga kedua dan ketiga dalam senarai perubahan harga paling ketara adalah bintang Manchester City, Ederson Moraes dan Leroy Sane. Ederson kini dianggarkan berubah harganya dari 24.3 juta EURO kepada 98.78 juta EURO, sementara Sane dari 65 juta EURO kepada 151.2 juta EURO.
Liga Perdana Inggeris dilihat mendominasi senarai 10 teratas dengan enam pemain mewakili mereka. Antaranya termasuk Gabriel Jesus (Manchester City), Joe Gomez (Liverpool) serta pertahanan Tottenham Hotspur (Davinson Sanchez). Pemain lain yang turut mengisi senarai tersebut adalah Kylian Mbappe (PSG), Paulinho (Barcelona), Sergej Milinkovic-Savic (Lazio) dan Florian Thauvin (Marseille). Senarai penuh 50 pemain yang menerima pertambahan nilai boleh dilihat melalui pautan ini.