Malaysia Liga Super Malaysia

PKNS harap tuah Safee, Anderson mampu bantu mereka tewaskan Kelantan

PKNS FC mengharapkan kehadiran semula dua tonggak utama dapat memberikan kemenangan apabila melayan kunjungan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Zac Anderson dan Safee Sali sebelum ini dilanda kecederaan sehingga tidak dapat membantu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal mengelak daripada tewas 3-4 di tangan Kedah pada 25 Februari lalu.

Kekalahan itu menyaksikan PKNS terlepas kedudukan pendahulu liga kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan selepas Safee dan Anderson kembali cergas, kudrat mereka ditagih untuk mendapatkan kembali status pasukan teratas dalam carta.

“Kami kehilangan Safee dan Zac ketika berdepan Kedah dan ketiadaan mereka memberikan kesan kepada pasukan. Zac memiliki kelebihan dalam membimbing rakan sepasukan.

“Apa yang penting, kami perlu meningkatkan kelemahan yang ada, terutamanya di bahagian tengah,” kata Rajagobal kepada Arena Metro.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berpendapat Kelantan tidak boleh dipandang mudah, lebih-lebih lagi sejak dikendalikan oleh Yusri Che Lah yang telah meraih dua kemenangan berturut-turut.

“Kedua-dua pasukan mempunyai jurulatih baru pada musim ini dan pastinya aksi pada malam ini ditunggu-tunggu peminat,” ujar Mahfizul.

PKNS dan Kelantan akan sekali lagi bertemu di Shah Alam pada 17 Mac untuk aksi pusingan ketiga Piala FA 2018.