Satu perkara yang sering kita lihat selepas perlawanan bolasepak adalah sampah yang ditinggalkan oleh penyokong. Kulit kuaci, bekas minuman dan makanan, dan kepingan tiket dapat dilihat ditinggalkan oleh penyokong bersepah di lantai dan kerusi.
Satu inisiatif telah diambil oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk menyelesaikan masalah ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. KLFA mengumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka bahawa KLFA bersama SWCorp dan Alam Flora telah berbincang mengenai isu kebersihan stadium ketika dan selepas perlawanan.
KLFA akan mengambil bahagian dalam kempen menjaga kebersihan di dalam stadium dan akan mendidik penyokong bagi memastikan mereka dapat membantu menjaga kebersihan kawasan stadium.
Apa yang penting, penyokong juga perlu turut serta dalam kempen ini kerana isu kebersihan ini tidak akan berjaya tanpa penglibatan dan kesedaran di kalangan penyokong.
Sebelum ini pernah beberapa penyokong membuat sendiri kempen kebersihan di stadium dengan membawa plastik hitam dan membantu membersihkan stadium selepas perlawanan. Jika semua penyokong mempunyai kesedaran sebegitu, pastinya tidak akan ada isu kebersihan di stadium.
Kepada penyokong, jika anda membeli makanan atau minuman, janganlah dibuang merata. Simpan sampah anda sehingga anda jumpa tong sampah. Janganlah dibuang merata-rata. Walaupun ada petugas yang diupah untuk membersihkan kawasan, tidak bermakna anda boleh membuang sampah sewenang-wenangnya.