Luar Negara

Ini sebab Pogba menyesal kembali ke pangkuan Manchester United

Real Madrid atau Manchester United?

Itu pilihan yang diberikan kepada Paul Pogba pada taun 2016, tetapi pemain tengah Perancis itu akhirnya memilih untuk kembali ke Old Trafford – keputusan yang dia sudah mula kesali.

Isu ini mula timbul baru-baru ini, selepas pelbagai laporan media di Eropah mengatakan bahawa hubungan di antara Pogba dan Jose Mourinho mengalami masalah. Spekulasi ini dicetus selepas kekalahan United di tangan Tottenham Hotspur di Wembley, di mana Pogba dikeluarkan oleh Mourinho pada pertengahan babak kedua, selepas gagal menurut arahan taktikal yang diberikan jurulatih Portugal itu.

Pogba juga turut dibawa keluar ketika United tewas 0-1 di tangan Newcastle United baru-baru ini dan selepas itu, antara akhbar tersohor di Perancis, L’Equippe, melaporkan bahawa Pogba sudah mula kecewa dengan posisi yang diberikan kepadanya oleh Mourinho.

Bintang Perancis itu sering digunakan oleh Mourinho di bahagian ‘defensive midfield’, manakala Pogba lebih gemar bermain di posisi ‘attacking midfield’ – di mana dia cukup efektif sehingga menjadi antara pemain tengah terbaik di dunia, ketika bersama Juventus sebelum ini.

Situasi ini telah membuka mata Real Madrid, yang kini dikatakan bersedia untuk membayar 120 juta euros untuk membawa Pogba ke Santiago Bernabeu pada musim panas akan datang. Menurut laporan The Sun, Madrid sedar bahawa United tidak berkenan untuk melepaskan bintang mereka tetapi Florentino Perez juga yakin bahawa jika Pogba sendiri membuat keputusan untuk meninggalkan Old Trafford, pihak pengurusan United akan terpaksa melepaskannya.

Malah, United juga dikatakan berminat untuk menandatangani Mauro Icardi, dan wang yang diperolehi daripada penjualan Pogba mungkin boleh digukana untuk membayar yuran perpindahan Icardi.

Apa pandangan anda tentang spekulasi ini? Pada pandangan anda, wajarkah Mourinho memberi peluang kepada Pogba untuk bermain di posisi ‘attacking midfield’.