Kuala Lumpur mencipta kejutan apabila menumbangkan juara bertahan JDT 1-0 walaupun perlawanan terpaksa ditunda ke keesokan harinya.
Paulo Josue menjaringkan gol di penghujung separuh masa pertama, namun permainan terpaksa dihentikan pada minit ke-56 dan bersambung pada hari Ahad.
Perlawanan yang bersambung di keesokan harinya, barisan pertahanan KL bertahan dengan mantap untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah.
KL KEKALKAN FORMASI
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao mengekalkan Kamarul Effandi di sebalik kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan yang lalu. Achmad Jufriyanto membuat penampilan pertamanya di tempat sendiri.
Bagi JDT pula, Ulisses Morais menyandarkan harapan kepada gandingan Luciano Figeroa dan Jorge Pereyra Diaz untuk merobek benteng Kuala Lumpur. Farizal Marlias berada di bangku simpanan selepas tamat tempoh penggantungan.
PAULO JOSUE MUNCUL WIRA
Kejutan tercipta di separuh masa pertama apabila Paulo Josue menjaringkan gol pembukaan di penghujung babak pertama menewaskan penjaga gol JDT Haziq Nadzli. Barisan pertahanan City Boys berkerja keras untuk menahan asakan JDT yang diketuai Luciano Figeruoa.
Namun, ekoran hujan lebat pada separuh masa kedua, perlawanan dihentikan dan komisioner perlawanan mengumumkan perlawanan akan disambung pada 5 petang Ahad.
Dalam perlawanan yang bersambung ke keesokan harinya, JDT menyerang Kuala Lumpur bertubi-tubi. Namun, kekentalan barisan pertahanan City Boys dan ketumpulan barisan serangan JDT memberikan kemenangan pertama buat KL di Liga Super.
EFFANDI TEBUS KESILAPAN
Penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi bangkit dari kesilapan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan dan menunjukkan aksi mantap untuk mengelak gawangnya dari bolos.
Effandi berjaya menyelamatkan percubaan daripada Luciano Figeruoa dan barisan serangan JDT yang lain serta bijak membuat hantaran De Paula ketika menyerang balas.
JDT TERIMA KUNJUNGAN MELAKA
Kuala Lumpur akan berdepan dengan PKNP yang turut naik ke Liga Super bersama mereka pada musim di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 25 Februari.
Sementara JDT pula akan berdepan jiran mereka, Melaka United yang akan berkunjung ke kubu kuat JDT, Stadium Larkin pada 24 Februari.