Liga Super Malaysia

Nama penjaga gol lagenda Malaysia, Datuk R. Arumugam diabadikan di Klang

Namanya antara yang menjadi sebutan sebaris dengan lagenda seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun dan Santokh Sing. Kehebatannya menjaga gawang pasukan Malaysia membuatkan dia digelar ‘ Spiderman’.

Nama Datuk R. Amurugam antara penjaga gol yang bergelar lagenda di Malaysia kini akan diabadikan dalam bentuk nama jalan dan stadium di tempat kelahirannya.

Memetik laporan The Star Online, Pihak Majlis Perbandaran Klang akan menukar nama Padang Pekeliling dan Jalan Pekeliling di kawasan Pelabuhan Klang kepada Stadium Mini Datuk R. Arumugam dan Jalan Datuk R. Arumugam bermula bulan hadapan.

Mendiang Datuk R. Arumugam adalah antara penjaga gol yang telah membantu Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia membuat keputusan memboikot temasya berkenaan.

Bekas penjaga gol yang membuat 394 penampilan untuk Selangor ini terkorban akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya pada 18 Disember 1988.