Malaysia Liga Super Malaysia

Pesta gol di Cheras, Selangor catat kemenangan kedua Liga Super 2018

Selangor kembali menghuni carta Liga Super 2018 selepas meraih kemenangan bergaya ke atas Melaka di Stadium KLFA malam tadi.

Para penyokong Red Giants disajikan dengan pesta gol yang cukup menarik, termasuk satu jaringan volley bertaraf dunia daripada Rufino Segovia pada babak kedua.

SYAHMI DIMASUKKAN KE DALAM KESEBELASAN PERTAMA

Maniam terpaksa membuat pertukaran untuk perlawanan ini selepas Azamuddin Akil mengalami kecederaan ketika mereka menentang Kuala Lumpur tempoh hari. Syahmi Safari dibawa masuk untuk mengambil posisi Azamuddin, manakala Kugan pula diberi peluang untuk membuat penampilan pertama untuk menggantikan Ilham Udin.

Bagi Melaka pula, Eduardo Almeida mengekalkan kesebelasan pertama yang tampil dengan aksi cemerlang dalam perlawanan pertama. Trio ‘midfield’ mereka, Jeon, Shahdan Sulaiman dan Tiago Gomes diberi tugas mengawal tempo perlawanan dan mengekang kemaraan Selangor.

RUFINO MENGGANAS DI CHERAS

Selangor hanya mengambil masa tujuh minit untuk membuka tirai jaringan. Rufino Segovia menerima hantaran jauh daripada K. Kannan, sebelum menggunakan ‘outer-foot’ untuk menewaskan Zamir Selamat di gawang gol Melaka.

Namun, Melaka menyamakan kedudukan pada minit ke-28, melalui jaringan sepakan percuma bekas pemain Blackpool, Tiago Gomes.

Kebangkitan Selangor dicetuskan oleh kesilapan Zamir Selamat pada babak kedua, sekaligus memberi peluang kepada Syahmi Safari untuk menyumbat gol kedua Red Giants. Pada minit ke-67 pula, Rufino berjaya meletakkan Selangor 3-1 di hadapan dengan jaringan ‘first-time volley’ yang cukup menakjubkan.

Pada penghujung perlawanan, giliran Syahmi Safari pula untuk mencatat gol berkelas dunia. Rembatan padunya melepasi Zamir dengan mudah untuk menghadiahkan kemenangan 4-1 dan juga tiga mata berharga untuk Selangor.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Rufino dan Syahmi Safari bermain dengan cukup positif malam ini, namun kami memilih untuk menobat Syahmi sebagai pemain terbaik perlawanan berdasarkan sumbangan keseluruhan. Syahmi bekerja dengan keras sepanjang 90 minit perlawanan malam tadi, dan turut membantu rakan sepasukannya bertahan setiap kali Melaka melancarkan serangan. Dua gol untuk seorang pemain muda yang beroperasi di bahagian sayap – itu merupakan pencapaian yang wajar diberi pujian!

LANGKAH SETERUSNYA

Selangor akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk menentang skuad Sang Penyu pada hari Sabtu ini manakala Melaka United pula akan menerima lawatan Negeri Sembilan dalam perlawanan ‘derby’ yang dijangka menyajikan aksi yang rancak di Stadium Hang Jebat pada malam Ahad.