VIETNAM
Ketua Jurulatih: Park Hang-seo
Pemain Tumpuan: Nguyen Cong Phuong
Tiada siapa boleh mempersalahkan penyokong Vietnam yang menyimpan harapan tinggi untuk skuad B-23 ini kerana barisan pemain ini menunjukkan daya saing yang cukup menakjubkan pada tahun 2016. Walaupun tersingkir di peringkat kumpulan, Vietnam memberi cabaran sengit kepada semua pasukan di kumpulan mereka. Masih ingat perlawanan Vietnam vs UAE yang tamat dengan skor 2-3?
Tahun ini, Vietnam akan kembali beraksi di pentas yang sama namun kali ini, pengalaman 2016 akan membantu mereka meninggalkan impak yang lebih besar. Skuad Park Hang-seo menunjukkan prestasi yang cemerlang di peringkat kelayakan, di mana mereka hanya sekadar tewas 1-2 kepada Korea Selatan. Bulan lepas, mereka merangkul tempat ketiga di kejohanan Piala M-150.
Hari Khamis ini, Vietnam akan turun berdepan Korea Selatan sekali lagi dan Park Hang-seo tekad mahu membantu Vietnam meraih kemenangan ke atas negara asalnya. “Saya berkhidmat untuk Vietnam jadi saya mahu fokus untuk memastikan pemain saya menewaskan Korea Selatan, walaupun itu negara asal saya,” kata ketua jurulatih itu.
Trivia!
Pemain tumpuan Vietnam, Nguyen Cong Phuong merupakan produk akademi Hoang Anh Gia Lai-Arsenal – sebuah institusi yang bertindak sebagai ‘feeder academy’ untuk pasukan V.League, Hoang Anh Gia Lai. Dia turut merupakan antara beberapa pemain Vietnam yang pernah bermain di luar negara, selepas menghabiskan setahun bersama Mito Hollyhock di divisyen kedua Jepun.