Bintang lari pecut, Usain Bolt telah mengesahkan bahawa dia akan mula berlatih bersama Borussia Dortmund untuk melancarkan bola sepaknya.
Peluang ini dianjurkan oleh Puma, syarikat gergasi yang menjadi penaja utama Borussia Dortmund dan juga Bolt. Namun, jaguh pecut itu hanya sekadar mahu menggunakan Dortmund sebagai platform untuk menarik perhatian kelab idamannya.
“Kami akan menjalani ujian dengan Dortmund Mac ini dan ia akan menentukan hala tuju saya dalam sukan ini. Jika mereka kata saya bagus dan perlukan latihan, saya akan lakukannya,” ujar Bolt kepada Sunday Express.
“Ia membuatkan saya gementar. Saya tidak rasa gementar sebelum ini tapi kali ini berbeza, kerana ini adalah bola sepak. Saya akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri tapi sebaik saya bermain beberapa kali, saya akan dapat membiasakan diri.
“Satu daripada impian terbesar saya adalah menyertai Manchester United. Jika Dortmund berkata saya cukup bagus, saya akan teruskan dan berlatih bersungguh-sungguh.
“Saya ada bercakap dengan (bekas pengurus United) Alex Ferguson dan memintanya memberikan sokongan. Beliau memberitahu saya jika saya cergas dan bersedia, beliau akan lihat apa yang boleh dilakukannya,” tambah Bolt, yang masih memegang rekod dunia dalam acara 100m dan 200m.
Sebelum ini, Bolt hampir diberi peluang beraksi di Old Trafford dalam perlawanan amal di antara agenda Manchester United dan lagenda Barcelona pada bulan September lalu. Namun, atlet yang berasal daripada Jamaica itu terpaksa berehat akibat kecederaan hamstring.