Liga Super Malaysia

Flavio Beck Junior: Apa kelebihan yang dimiliki oleh import baru Negeri Sembilan ini?

Bekas pemain tengah Borneo FC, Flavio Beck Junior telah secara sah menyertai Negeri Sembilan untuk kempen Liga Super 2018.

Berita ini disahkan oleh Flavio sendiri dan pemain yang berasal daripada Brazil itu sah menjadi pemain import keempat untuk menyertai Negeri, selepas Nicolas Velez, Madhu Mohana dan Kim Do Heon.

Walaupun lahir di Brazil, Flavio banyak menghabiskan masa di Eropah, terutamanya di Liga Croatia. Pada tahun 2013, sembilan tahun selepas dia berhijrah ke Eropah buat kali pertama, Flavio diberi kerakyatan Croatia.

https://www.instagram.com/p/BdPz037Hme0/

Musim lepas, Flavio berjaya membina reputasi sebagai ‘set-piece’ specialist di Borneo FC dan seringkali menjaringkan gol-gol yang cantik dari jarak jauh. Menurut statistik di laman web rasmi Liga 1 Indonesia, Flavio menjaringkan 7 gol dan mencatat 5 ‘assist’ sepanjang 2017.

“Flavio memang terkenal di Indonesia sebagai pemain yang mampu menjaringkan gol jarak jauh. Dia turut diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan percuma dan sepakan penalti di Borneo FC,” kata Isidorus Rio, sahabat kami di Football Tribe Indonesia.

“Namun, jika Flavio digunakan sebagai ‘defensive midfielder’, Negeri mungkin mengalami sedikit kesusahan. Pemain ini tidak mempunyai disiplin dari segi posisi dan sering mendatangkan masalah untuk bahagian pertahanan apabila dia turut naik ke atas untuk menyertai bahagian serangan.

“Lebih sesuai jika Negeri menggunakannya sebagai pemain tengah biasa, kerana Flavio mempunyai kebolehan yang cukup tinggi apabila diberi ruang untuk membuat cubaan,” tambah Rio.

Saksikan video di bawah untuk mellihat corak permainan Flavio Beck Junior!