“Keputusan itu sudah pasti dibuat mengikut prosedur dalaman FAM. Jadi, AFC tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hukuman yang diputuskan itu.”
Itu komen yang diberikan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John kepada Berita Harian, apabila ditanya tentang denda yang dikenakan kepada Pahang.
Persatuan Bolasepak Malaysia secara rasmi mengesahkan bahawa pasukan Tok Gajah akan dilarang daripada memohon untuk lesen AFC selepas mereka menolak peluang beraksi di saingan Piala AFC untuk musim 2018.
Sementara Datuk Windsor berpendapat bahawa tiada sebab untuk AFC memberi kenyataan rasmi tentang keputusan itu, beliau turut menegaskan bahawa AFC tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman lain terhadap Pahang.
“Pada masa sama, AFC juga tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Pahang yang sudah menyatakan pendirian mereka untuk tidak mahu menyertai saingan Piala AFC 2018,” tambah Datuk Windsor.
Berita ini bermakna bahawa skuad Pahang tidak dapat beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia pada tahun 2019, sekiranya mereka meraih kejuaraan liga pada tahun depan.