Luar Negara

Jurgen Klopp, tiada lagi alasan untuk anda di Liverpool

Oleh Neil Humphreys

Jurgen Klopp sememangnya seorang jurulatih yang bagus dan rekodnya bersama Borussia Dortmund agak cemerlang. Namun, rekod beliau semakin dilupakan orang ramai. Jika jurulatih lain yang mengemudi pasukan Liverpool sekarang, sudah pasti para penyokong akan memanggil untuk individu tersebut dipecat.

Jurulatih kelahiran German ini sedang hidup berdasarkan reputasi lama, populariti di seluruh dunia dan juga resume di Borussia Dortmund. Berdasarkan prestasi semasa Liverpool, Klopp memang bernasib baik kerana belum dipecat.

Mungkin betul, Klopp tidak perlu dipecat. Namun, masanya sudah tiba untuk kita mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang penting berkenaan Liverpool kerana kelab itu sedang bergelut dengan prestasi semasa dan statistik jelas menunjukkan situasi tersebut.

Selepas 78 perlawanan, Klopp hanya berjaya membantu Liverpool meraih 137 mata. Selepas jumlah perlawanan yang sama, Rafa Benitez meraih 144 mata manakala Brendan Rodgers pula meraih 148 mata. Dan kedua-dua jurulatih ini akhirnya dipecat oleh pihak pengurusan. Namun, tiada siapa yang sedang mengkritik Klopp, walaupun rekod beliau lebih buruk daripada Benitez dan lebih teruk daripada Rodgers, terutamanya selepas kekalahan 4-1 di tangan Tottenham.

Kredit Foto: ESPN FC

Cuba pertimbangkan kesilapan yang berlaku dibawah kendalian Klopp di Liverpool. Dejan Lovren membuat kesilapan yang menghadiahkan dua gol untuk Spurs. Memang jelas Lovren tidak berada di tahap kecergasan yang optimum. Lovren mempunyai kecederaan jangka panjang di bahagian tulang belakang, dan terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit untuk bermain di dalam setiap perlawanan. Baru-baru ini, pasukan kebangsaan Croatia menghantar Lovren pulang ke Liverpool dengan alasan dia tidak cukup cergas. Namun Klopp terus memaksa Lovren bermain di dalam setiap perlawanan mereka.

Lovren dipaksa main kerana Klopp gagal menandatangani pemain pertahanan pada musim panas lalu. Mereka menghabiskan keseluruhan musim panas cuba membeli Virgil van Dijk, seolah-olah pemain itu merupakan satu-satunya pertahanan tengah di seluruh dunia bola sepak. Klopp hanya mempunyai nama Van Dijk di dalam senarainya dan apabila mereka tidak berjaya membawa Van Dijk ke Anfield, Klopp berputus asa dan membuat keputusan untuk bergantung pada Dejan Lovren.

Selain itu, masalah lain yang masih membelenggu Liverpool adalah ketiadaan pemain ‘defensive midfielder’ untuk melindungi mereka di bahagian tengah. Chelsea mempunyai N’Golo Kante, Manchester United mempunyai Nemanja Matic, Manchester City mempunyai Fernandinho. Liverpool pula? Mereka tidak mempunyai siapa-siapa. Dulu, mereka ada Steven Gerrard. Sekarang mereka ada Jordan Henderson tetapi dia suka bermain secara lebih ‘offensive’. Dia tidak cukup bagus untuk menjadi ‘holding midfielder’ dan memang tidak boleh melindungi pertahanan sepertimana Matic, Kante dan Fernandinho lakukan untuk kelab mereka. Klopp bukan sahaja gagal membeli pemain pertahanan, dia juga gagal membeli seorang ‘holding midfielder’.

Kredit Foto: talksport.com

Sebaliknya, siapa yang Klopp berjaya bawa ke Anfield? Alex Oxlade-Chamberlain, seorang pemain yang Liverpool tidak perlukan. Dia tidak cukup bagus untuk skuad utama Liverpool. Dia tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Tottenham, walaupun Liverpool kehilangan tiga pemain tengah untuk perlawanan itu – Adam Lallana, Sadio Mane dan Giorginio Wijnaldum. Mereka bermain tanpa tiga tonggak utama dan Klopp masih tidak yakin untuk menurunkan Oxlade-Chamberlain dalam kesebelasan utama. Klopp berbelanja 35 juta pounds untuk seorang pemain walaupun dia sendiri belum yakin dengan kebolehan pemain itu.

Mane, Lallana dan Wijnaldum semua merupakan pemain yang lebih bagus daripada Oxlade-Chamberlain dalam posisi mereka. Alasan Klopp? Oxlade-Chamberlain perlukan masa untuk menyesuaikan dirinya di Anfield. Tetapi beliau menghabiskan 35 juta pounds atas pemain ini. Sudah tentu dia merupakan pemain yang dibawa masuk untuk mengisi kekurangan dengan segera. Jika Oxlade-Chamberlain memerlukan masa, maka Liverpool sepatutnya menunggu sembilan bulan dan mendapatkannya tanpa sebarang yuran perpindahan. Tetapi Klopp tidak sabar, dan beliau membayar 35 juta pounds untuk membawa Oxlade-Chamberlain ke Anfield sekarang. Jadi, bekas pemain Arsenal itu harus memberi sumbangan kepada skuad utama mereka sekarang.

Sembilan bulan dari sekarang, Klopp boleh membawa Oxlade-Chamberlain ke Anfield untuk percuma. Sembilan bulan dari sekarang, Klopp akan mempunyai Naby Keita, yang akan kembali ke Liverpool selepas dipinjamkan ke RB Leipzig. Dia kini dipinjamkan, jadi Klopp perlu memberi jawapan untuk beberapa persoalan yang serius. Mengapa beliau tidak menandatangani sebarang pemain pertahanan? Mengapa Klopp tidak membawa masuk penjaga gol baru untuk menggantikan Simon Mignolet, yang tidak konsisten. Mengapa beliau tidak membawa masuk ‘holding midfielder’ untuk bermain di posisi Jordan Henderson? Sebaliknya, Klopp berbelanja 35 juta pounds untuk seorang pemain yang beliau tidak perlukan. 35 juta pounds untuk seorang pemain yang boleh dibawa masuk untuk percuma, sembilan bulan dari sekarang.

Kredit Foto: thisisanfield.com

Ini merupakan soalan-soalan yang perlu dijawab oleh Klopp. Sehingga kini, reputasi dan popularitinya di seluruh dunia berjaya melindunginya daripada kritikan orang ramai. Tetapi, keputusan buruknya dan kesilapan yang dilakukannya sudah mula mendapat perhatian dan isu-isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin. Jika tidak, Liverpool tidak akan memberi cabaran untuk kejuaraan liga. Malah, mereka juga akan gagal untuk meraih slot Liga Juara-Juara Eropah untuk musim depan.