Liga Super Malaysia

Usah Cuba Gertak Saya Dan Jangan Biadap – TSAM

Tan Sri Annuar Musa petang tadi membalas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam supaya jangan biadap dalam menjalankan tugas.

Dalam kenyataan balas melalui laman sosial Facebook, Tan Sri Annuar Musa jelas kurang selesa dengan frasa ‘mempolitikkan’ isu.

“Saya nak tanya apa maksud jangan mempolitikkan isu? Siapa mempolitikkan? Politik apa? UMNO? PAS? DAP?”, soalnya.

 

Ada Hak Sebagai ‘Stake Holder’

“Ini adalah soal bola, soal cara bekerja dan soal keadilan.”

“Saya berhak kerana saya STAKE HOLDER, saya bukan makan gaji macam Kevin.”

“Saya berbelanja dan melabur untuk bola kerana minat dan tidak mahu bola sepak Kelantan terkubur atau dikuburkan.”

 

Tuntut Kualiti Kerja Profesional

Beliau juga menyatakan Kevin dibayar gaji puluhan ribu ringgit sebulan, untuk menunjukkan kualiti kerja yang profesional.

Bukan berlagak sombong dan besar kepala dengan sesuka hati membuat kenyataan demi kenyataan yang ‘kantoi’kan FMLLP.

KAFA Akan Bertemu FMLLP

Menurut Tan Sri Annuar Musa lagi, beliau telah menasihatkan Exco KAFA untuk bertemu FMLLP bagi meminta penjelasan Isnin minggu hadapan.

Rombongan itu akan diketuai oleh Pemangku Presiden Dato’ Sri Affendi Hamzah.

“Kita bukan pertikaikan hukuman, apa yang kita pertikaikan adalah keputusan tidak konsisten dan kebijaksanaan dalam menghukum serta kenyataan yang sering bercanggah.”

Usah Cuba Gertak Saya

Beliau juga memberitahu supaya tidak usah cuba untuk menggertaknya.

“Selagi saya terlibat dengan bola, saya berhak dan akan bersuara tanpa takut atau gentar!”

“Biar rombongan KAFA dapatkan penjelasan dahulu, dan kita akan tentukan langkah selanjutnya nanti.”

Sebelum menamatkan kenyataan balasnya itu, sekali lagi Tan Sri Annuar Musa mahukan penjelasan mengenai mempolitikkan isu.

“Sekali lagi saya ulang, apa maksud mempolitikkan?”

“Kevin mahu pasukan yang ditindas ini berdiam diri dan hanya menagih simpati? Itu bukan The Red Warrior!”, tegas beliau mengakhiri kenyataan.