Liga Super Malaysia

RASMI: Kemaskini Terbaru AFC MA Ranking Mei 2017, Malaysia Belum Potong Hong Kong

Selepas pihak AFC mengemaskini AFC MA Ranking terbaru pada hari ini 5 Mei 2017, Hong Kong masih mendahului Malaysia dengan +0.148 mata.

Ini akan membuatkan ramai tertanya-tanya kenapa kami mengatakan Malaysia telah memotong Hong Kong dalam artikel sebelum ini.

Penjelasan Football Tribe Malaysia

Pengiraan AFC adalah berdasarkan kepada tamatnya peringkat kumpulan saingan AFC Cup 2017 sahaja. Manakala, Football Tribe Malaysia telah mengambil kira mata yang diperolehi oleh JDT selepas layak ke pusingan separuh akhir zonal ASEAN. 3 mata diberikan kepada JDT kerana layak ke pusingan kalah mati, dan ini tidak dikira dalam pengiraan rasmi AFC.

Satu lagi ralat kecil dalam pengiraan kami adalah apabila kesilapan menggunakan data 3 kali menang 2 kali seri dan 1 kali kalah untuk JDT. Sepatutnya adalah 4 kali menang, 1 kali seri dan 1 kali kalah. Ini berlaku semasa kami membuat analisis ‘simulation’ sebelum ini.

Selepas memperbetulkan dua perkara diatas ini, maka pengiraan telah menjadi tepat dengan data rasmi yang dikeluarkan oleh AFC.

Benar Atau Tidak Malaysia Telah Potong Hong Kong?

Jika dikira 3 mata yang diperolehi JDT selepas layak ke peringkat separuh akhir zonal ASEAN, dan Eastern kalah dalam perlawanan terakhir bertemu Kawasaki Frontale, Malaysia 100% akan memotong Hong Kong dalam kedudukan AFC MA Ranking.

Berdasarkan situasi diatas, Malaysia akan mempunyai gap 0.520 mata dengan Hong Kong, sebelum perlawanan pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019.