AFC Champions League

JDT Dan Felda United Harapan Malaysia Untuk Raih Slot Automatik AFC Champions League

Selepas berakhirnya pusingan kelayakan 2 AFC Champions League 2017, JDT berjaya menewaskan Bangkok United 5-4 melalui penentuan sepakan penalti. Menanti JDT diperingkat Play Off adalah gergasi bola sepak Jepun, Gamba Osaka pada 7 Febuari 2017 di Suita City Stadium, Osaka.

Kejayaan ini seharusnya diraikan oleh semua peminat bola sepak Malaysia tanpa ada sentimen kenegerian dan lain-lain kerana kita mahu melihat kejayaan ini bukan sekdar untuk pasukan JDT dan Johor tetapi seterusnya mampu memberikan kebaikan serta memberikan faedah kepada pasukan lain di Malaysia untuk beraksi di peringkat Asia.

Apa Faedah Untuk Pasukan Lain Jika JDT Layak ke Peringkat Kumpulan?

Kita perlu melihat situasi ini dengan gambaran yang lebih besar serta memikirkan apa sumbangan untuk terus berada dalam kejohanan elit Asia.

Dalam artikel ini, kami kongsikan bagaimana pasukan dari Liga Super Malaysia 2018 dan 2019 mampu untuk beraksi dalam peringkat kumpulan AFC Champions League tanpa perlu melalui peringkat kelayakan play off yang cukup sukar.

Berdasarkan ‘AFC Club Competition 2017-2020 – Entry Manual’, penentuan slot bagi AFC Champions League musim 2019 dan 2020 akan menggunakan AFC MA Ranking pada November 2017, dan bukan AFC MA Ranking November 2018. Oleh yang demikian, segala keputusan perlawanan dalam kejohanan AFC Champions League dan AFC Cup 2017 adalah sangat penting untuk membolehkan Malaysia terus mendaki AFC MA Ranking untuk mendapatkan 1 slot automatik AFC Champions League 2019 dan 2020 nanti.

Kepada yang masih belum tahu, kedudukan 6 ranking teratas AFC MA Ranking akan menjanjikan sekurang-kurangnya 1 slot automatik peringkat kumpulan dan  slot kelayakan play off 2 AFC Champions League.

Perbezaan Sistem Kiraan Mata AFC Champions League Dan AFC Cup Dalam AFC MA Ranking

AFC Champions League:

  • Setiap kemenangan akan menerima 3 mata, seri 1 mata dan kalah 0
  • 3 mata tambahan diberikan kepada pasukan jika layak ke setiap peringkat seterusnya
  • Kelayakan Play Off dan Play Off tidak dikira
  • Jika sesebuah MA itu mempunyai lebih dari 1 kelab, nilai purata setiap pasukan akan dikira.

AFC Cup :

  • Setiap kemenangan akan menerima 3 mata, seri 1 mata dan kalah 0
  • 3 mata tambahan diberikan kepada pasukan jika layak ke setiap peringkat seterusnya.
  • Kelayakan Play Off dan Play Off tidak dikira.
  • Jika sesebuah MA itu mempunyai lebih dari 1 kelab, nilai purata setiap pasukan akan dikira.
  • 1 mata dari AFC Cup adalah 1/3 mata dari AFC Champions League.

Pengiraan akhir akan mengambil pakai 70% mata pasukan kelab dan 30% dari FIFA Ranking.

Mampukah Malaysia Memiliki Slot Automatik AFC Champions League 2019 & 2020?

Ya! Kita mampu untuk memiliki slot ini dengan beberapa syarat seperti dibawah.

  1. Pasukan yang beraksi dalam AFC Cup 2017 perlu bermain dengan cemerlang, sekurang-kurangnya layak ke Inter-Zone Final atau ke perlawanan akhir AFC Cup 2017.
  2. Pasukan dari Hong Kong tidak dapat mengutip sebarang mata.
  3. Menewaskan pasukan dari Vietnam dalam AFC Cup 2017.

Kami melihat jika 3 syarat ini mampu dipenuhi, juara Liga Super 2018 dan 2019 akan beraksi di peringkat kumpulan AFC Champions League 2019 dan 2020 – jika cukup syarat yang ditetapkan.

JDT Dan Felda United Harapan Malaysia Untuk Raih Slot Automatik AFC Champions League 2019 & 2020!