Siam Cement Group (SCG) semalam mengumumkan akan menyambung penajaan mereka kepada juara Toyota Thai League 2016, Muangthong United untuk 5 tahun akan datang sehingga 2021.
SCG telah menandatangani perjanjian ‘title sponsorship’ bersama SCG Muangthong United untuk jangka masa panjang selari dengan visi syarikat tersebut untuk menjadi peneraju perniagaan diperingkat ASEAN khususnya. Dengan moto baru – ” Be The Future “, SCG Muangthong United menyasarkan untuk muncul sebagai salah satu kelab bola sepak terkuat diperingkat Asia.
Timbalan Presiden Eksekutif SCG, Mr.Yuttana Jiamtragan berkata, SCG menyedari kepentingan sukan dimana ia mampu untuk menaikkan kualiti hidup secara luaran dan dalaman. Melalui beberapa penajaan dalam bidang sukan – badminton, bola sepak dan golf terutamanya, SGC menegaskan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada atlit dan pasukan dari Thailand untuk terus maju ke peringkat dunia.
Dengan termeterainya perjanjian baru ini menunjukkan komitmen SCG untuk melihat lebih kejayaan Muangthong United dan memacu semangat pemain serta jurulatih untuk mencapai lebih dari apa yang disasarkan. SCG juga menegaskan mereka mahu bola sepak Thailand dikenali oleh peminat diseluruh Asia.
Tajaan bernilai 600 juta Baht / RM75.5 juta untuk 5 tahun itu dilihat sebagai suatu tonik untuk SCG Muangthong United terutamanya pemain-pemain untuk terus meningkatkan prestasi diatas padang dan pihak pengurusan untuk terus efisien membantu kejayaan kelab diperingkat yang lebih tinggi.
Ketua Pengarah Eksekutif SCG Muangthong United, Mr. Pongsak Polanant, menyatakan penghargaannya kepada SCG diatas segala sokongan dan penajaan yang telah diberikan sejak 5 tahun lalu dan 5 tahun akan datang. Beliau percaya, “Strategic Partnership” diantara SCG dan SCG Muangthong United mampu untuk mencapai sasaran untuk menjadi pencabar bola sepak di Asia dalam 3 hingga 5 tahun akan datang.
Dengan ramai bakat muda yang sudah membuktikan keupayaan mereka diperingkat kelab dan pasukan kebangsaan, SCG Muangthong United sudah bersedia untuk cabaran hebat dalam musim seterusnya.