Liga Super Malaysia

Popov Hilang Sabar Dengan Jadual Perlawanan Terlalu Padat

VELIZAR Popov tampak seperti sudah hilang sabar dengan jadual perlawanan padat membabitkan aksi Liga Super dan Piala Malaysia yang berlangsung serentak sehingga menyebabkan pasukan kendaliannya, Kelantan gagal beraksi lebih baik dalam saingan musim ini.

Ketua Jurulatih Kelantan itu sekali lagi dalam nada tegasnya menganggap jadual pertandingan musim ini langsung tidak masuk akal dan gagal membantu bukan hanya The Red Warriors, malah semua pasukan lain beraksi lebih kompetitif.

“Individu yang menyusun jadual ini tidak pernah fikir soal kebajikan pemain dan kualiti bola sepak. Saya bersedia buka mulut sekarang kerana saya bukan orang tempatan (Malaysia) dan saya sedikit pun tidak kisah.

download
Foto: StadiumAstro

“Ini adalah kebenaran, saya tidak takut apa-apa (dikenakan tindakan), saya bersedia pergi (meninggalkan pasukan) esok kerana saya tidak berpuas hati dalam banyak perkara,” katanya dalam sidang media malam kelmarin.

Kenyataan berani dilontarkan pengendali kelahiran Bulgaria itu hadir selepas dia begitu kecewa melihat semua pasukan bertanding terpaksa mengharungi 14 perlawanan dalam tempoh 40 hari, ketika ini.

“Jadual itu tidak normal, saya sudah bercakap perkara ini dengan ramai orang. Untuk bercakap kualiti bola sepak ia sangat mustahil, prestasi pasukan akan menurun kerana pemain bukan mesin atau pun robot yang boleh bermain sepanjang masa,” katanya.

Jurulatih itu turut meminta pihak media membuat carian dalam internet berhubung dakwaannya itu sekiranya benar terdapat mana-mana pasukan bola sepak di dunia bermain sebanyak itu dalam tempoh berkenaan.

12716popov.tmb-width768
Foto: StadiumAstro

“Tugas anda (wartawan) adalah mencari kebenaran. Okey anda cari ada tak pasukan di Eropah, Itali dan Jerman bermain 14 perlawanan dalam 40 hari, tujuh minggu berturut-turut, selang tiga hari. Saya jamin anda tidak akan temui apa-apa….ini (jadual Liga Malaysia) jadi (boleh masuk) Guinness Book of World Records,” katanya sinis.

Dalam masa sama, Popov turut mempertikaikan mengapa Kelantan terpaksa berdepan lawan yang mempunyai tempoh rehat cukup berbanding pasukannya, ketika ini.

“Kenapa pasukan lawan dapat rehat sehari lebih daripada Kelantan? Bermula (lawan) Pahang, Selangor, Johor Darul Ta’zim, malam ini Kuala Lumpur dan kemudian Felda United (Rabu ini).

“Adakah ini fair play (jujur dan adil)? Di mana fair play ? Dalam jadual, rehat satu hari cukup bermakna dan satu kelebihan bagi mana-mana pasukan tetapi kenapa kami tidak boleh bertemu Felda United, pada hari yang sama,” soalnya.

Artikel asal adalah dari Sinar Harian oleh MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.