Berita

Khalid Ali dan bekas pemain mahu jumpa TMJ

Bekas pemain bola sepak Malaysia, Khalid Ali meluahkan hasrat untuk bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bagi memberi sokongan kepada baginda dalam memajukan bola sepak negara serta memberikan beberapa cadangan kepada baginda.

“Saya akan sampaikan mesej kepada baginda, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Saya akan membuktikan sokongan saya kepada baginda selain berkongsi pandangan dan juga idea bagi membantu baginda mengembalikan semula maruah bola sepak negara,” katanya kepada Harian Metro.

Khalid bercadang bertemu Tunku Ismail bersama bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal dan pengendali pasukan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan.

“Tiada individu lain di Malaysia yang kini lebih layak menjawat jawatan nombor satu FAM. Hanya baginda sahaja yang mempunyai segala ciri diperlukan sebagai seorang pemimpin yang mampu untuk melakukan perubahan kepada pasukan kebangsaan. Selama ini semua orang fikir Khalid Ali menentang TMJ, tetapi kenyataannya adalah tidak,” jelasnya.

“Peminat sering salah faham tentang apa yang saya cuba lakukan. Oleh itu sudah sampai waktu untuk saya dan beberapa bekas pemain lain bersemuka dengan TMJ untuk membuktikan sokongan kami terhadap baginda,” tegasnya.

TMJ mengambil alih teraju kepimpinan FAM pada Mac lalu.

Justeru beliau berhasrat keinginannya untuk menghadap Tunku Ismail dalam masa terdekat akan diperkenan baginda.

“Saya merayu kepada TMJ supaya tidak terburu-buru membuat keputusan seterusnya. Berikan kami (bekas pemain) yang ada pengalaman bermain pada waktu kegemilangan bola sepak negara peluang untuk berkongsi pandangan kami dan anggaplah ia sebagai tanda sokongan kami kepada baginda,” ujarnya.

sumber : Harian Metro