Tiada kesangsian bahawa Antoine Griezmann merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini. Dia mampu menggelecek melepasi pertahanan, melepaskan rembatan dari jarak jauh serta melencongkan hantaran seperti dalam aksi NFL. Namun, bukan itu sahaja kemampuannya.
Sejak berhijrah ke Atletico Madrid dari Real Sociedad pada 2014, kemampuan bertahan Griezmann telah berkembang dan meningkat dengan baik. Sudah tentu dia jarang menunjukkan kebolehan itu memandangkan sehingga kini dia kekal sebagai salah satu peledak utama buat Atletico. Bagaimanapun, apa Rojiblancos memerlukan seseorang untuk turun ke bawah dan menyekat serangan lawan, Griezmann akan muncul.
Terima kasih kepada tambahan latihan pertahanan yang dilakukan oleh Diego Simeone. Gaya halangan pemain berjersi nombor tujuh ini jelas meningkat, tidak kira menerusi estetik atau statistik. Dia kini melakukan terjahan halangan dengan penuh kesempurnaan, menguasai teknik untuk menjatuhkan badan sebelum menghalang pemain lawan dari sudut yang sukar untuk memastikan bola jauh dari Jan Oblak. Alessandro Nesta tentunya gembira melihat perkara ini. Statistik juga menunjukkan perkembangan ketara. Griezmann mencatatkan kadar halangan sebanyak 28% pada musim pertamanya bersama Atletico, namun ia berkembang menjadi 41%, 40% dan 40% dalam tiga musim berikutnya.
Peningkatan statistik ini juga bukan sekadar disebabkan oleh Atletico adalah sebuah pasukan yang bertahan dan ia bukan satu hasil kejayaan dalam sebuah sistem. Griezmann telah muncul sebagai sebagai pemain bertahan yang bagus dan ia juga memberikan kebaikan buat skuad Perancis. Ketika menjaringkan gol hebat pada minit ke-26 sewaktu bertemu Colombia bagi aksi persahabatan, Jumaat malam yang lalu, sebenarnya Griezmann adalah individu yang mendapatkan bola dari kawasan sendiri, sebelum melepaskannya kepada Djibril Sidibe yang kemudian memberikan semula bola kepada Griezmann, sebelum dia menggunakan tumit untuk menolak bola kepada Kylian Mbappe dan membuka ruang buat Thomas Lemar. Ia menjadi satu gol yang hebat dan segalanya bermula daripada halangan Griezmann.
Selain semakin berkembang ketika bertahan, Griezmann juga menikmati seni mendapatkan kembali bola yang membawa kepada gawang tanpa dibolosi. “Saya lebih gemar menang berbanding bermain cantik dan jika Atletico sedang mendahului 1-0, saya akan turun ke bawah untuk bertahan bersama yang lain,” jelasnya dalam satu temubual bersama L’Equipe. “Ia memerlukan hampir enam bulan untuk saya di Atletico bagi menyesuaikan diri dengan bertahan tetapi kini menikmatinya. Kadang kala sewaktu bersama Perancis, Didier Deschamps agak kurang meminta saya bertahan tetapi ia datang secara semulajadi. SImeone telah mengajar saya bagaimana untuk bertahan dan ia membuatkan saya gembira. Kini, saya sukakan peranan di bawah!
Sudah tentu pada waktu ini masa depan Griezmann masih di awangan tatkala dia berpeluang untuk berpindah ke kelab lain pada musim panas akan datang. Tidak kira kelab mana yang mendapatkannya, sama ada Barcelona atau pasukan lain, mereka pasti perlu membayar jumlah yang tinggi untuk apa yang mampu dilakukan peledak Perancis itu di depan gol. Sebenarnya, merekajuga bakal mendapatkan seorang pemain benteng yang hampir sempurna, seperti hadiah mainan yang diraih menerusi pembelian sebuah komik.
Ia tidak menjelaskan banyak perkara tetapi Griezman kini adalah salah seorang penyerang paling sempurna dan bakal membantu pasukan anda memenangi sesebuah aksi bola sepak melalui kawasan sendiri, begitu juga di tempat lawan. Kebolehannya jelas sekali telah dipandang rendah oleh banyak pihak.
Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)