Luar Negara

Antonio Conte mungkin dipecat, Luis Enrique akan dibawa masuk ke Stamford Bridge?

Chelsea dikatakan sudah bersedia untuk memecat Antonio Conte, menurut laporan pelbagai media di England dan juga Itali, selepas mereka tewas 1-4 di tangan Watford malam semalam.

Keputusan tersebut merupakan kekalahan ke-6 untuk Chelsea di saingan Liga Perdana Inggeris musim ini dan juara bertahan itu kini berada di posisi ke-4, hampir 20 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Hubungan Conte dengan pihak pengurusan Chelsea, termasuk Roman Abramovich sudah lama mengalami masalah selepas mereka enggan menerima cadangan Conte ketika jendela perpindahan musim panas lalu.

Isu tersebut menjadi lebih besar selepas Chelsea membawa melepaskan Nemanja Matic ke Manchester United, biarpun Conte tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

Malam semalam, bekas pengendali Juventus itu memberi bayangan bahawa dia mungkin bersedia untuk meninggalkan Chelsea, sekiranya itu yang dimahukan oleh pihak pengurusan kelab.

“Saya tak risau tentang situasi saya. Saya bekerja keras setiap hari dan saya beri 120 peratus. Saya rasa perkara ini cukup untuk pihak pengurusan. Jika tidak cukup, mereka boleh membuat keputusan lain. Tetapi buat masa sekarang, saya tidak risau,” kata Conte.

Sekiranya Conte dipecat, individu yang bakal dibawa masuk untuk menggantikannya adalah bekas ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique. Malah, menurut laporan Diario Sport, Enrique mungkin diumumkan sebagai pengendali baru dalam masa 48 jam akan datang.