Malaysia Berita

Hamidin nafi dakwaan surat layang, rasuah dan salah guna kuasa

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampil menafikan segala dakwaan dalam surat layang yang tersebar beberapa hari kebelakangan ini.

Surat layang itu tersebar menjelang Kongres Tahunan FAM Ke-60 yang berlangsung di Subang Jaya.

“Segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang berkenaan adalah lebih bersifat untuk menyerang peribadi yang merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata,” kata Hamidin dalam sidang media.

“Ia juga dilihat datang daripada seorang individu atau lebih yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.”

Jelasnya, semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta SOP yang telah ditetapkan iaitu ianya perlu melalui Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan.

“Justeru, laporan berhubung perkara ini akan dihantar kepada Jawatankuasa Integriti FAM, sebuah badan bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Aseh Che Mat serta dibarisi ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada antaranya wakil dari PDRM dan SPRM untuk dinilai dan diperhalusi.”

Katanya, FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang tersebut.

“FAM juga sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung surat layang tersebut kerana ia telah menimbulkan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air dan juga antarabangsa, selain akan cuba mendapatkan bantuan daripada SKMM dalam mengesan dari mana sumber asal e-mel surat layang tersebut dan jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat.”

Katanya, berhubung isu hampir 12 orang staf FAM telah meletak jawatan dalam tempoh tiga bulan terakhir, ia perkara normal dalam sebuah organisasi besar apabila terdapat staf yang telah tamat kontraknya dan tidak ditawarkan kontrak baharu.

“Ada staf yang menghantar surat peletakan jawatan kerana menerima tawaran lebih baik dari pihak lain serta ada juga yang terpaksa berhenti kerana masalah peribadi/keluarga.

“Tiada seorang pun yang telah dipecat seperti yang didakwa dalam surat layang tersebut. Malah, terdapat juga beberapa bekas staf sebelum ini yang kembali menyertai FAM selepas tempoh tertentu, sekali gus membuktikan bahawa tiada masalah pengurusan seperti yang didakwa.

“Berkenaan isu kenaikan gaji staf, FAM sentiasa mengikut prosedur dan ketetapan sedia ada di bawah Unit Sumber Manusia FAM yang mana kenaikan gaji adalah dinilai berdasarkan prestasi kerja, tahap komitmen, disiplin, rekod kedatangan harian serta perkara-perkara berkaitan dan bukannya dibuat berdasarkan pilih kasih seperti yang didakwa.

“Peletakan jawatan penolong pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Kamarul Ariffin Mohd Shahar, beliau sendiri telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut bertarikh 29 Januari 2024, iaitu sekembalinya skuad Harimau Malaya ke tanah air selepas menamatkan kempen Piala Asia 2023 di Qatar atas alasan mahu memberi tumpuan kepada urusan perniagaan beliau.

“Tiada istilah beliau ditikam dari belakang atau sebagainya kerana peletakan jawatan itu adalah atas persetujuan dan permintaan beliau sendiri.”

Hamidin turut mengulas mengenai spekulasi ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang telah menafikan beliau menghantar surat kepada FAM dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya.

“Di pihak FAM sendiri pun, kami tidak menerima apa-apa surat daripada Pan Gon. Jadi tiada isu di sini yang mana ia cuma cubaan pihak tertentu untuk mencipta satu polemik susulan dua kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Oman, baru-baru ini.

“Timbul juga isu bahawa penolong jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente telah meninggalkan skuad Harimau Malaya selepas kelibatnya tidak kelihatan di bangku simpanan pada aksi menentang Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac lalu.

“Beliau sebenarnya telah dimasukkan ke hospital pada 23 Mac iaitu sehari selepas skuad kebangsaan pulang dari Muscat, Oman kerana telah mengalami masalah kesihatan. Beliau ditahan wad selama enam hari dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Mac lalu. Justeru, Pau Marti sah masih bersama skuad Harimau Malaya.