Liga Super Malaysia Berita

FAM: VAR akan digunakan di Piala FA dan Piala Malaysia tetapi bukan Liga Super

Alat video bantuan pengadil (VAR) akan mula digunakan dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia bermula musim 2023.

FAM bagaimanapun masih memikirkan sama ada ia akan digunakan bermula pada peringkat suku akhir dan seterusnya atau daripada peringkat kumpulan.

Namun, ia tidak akan melibatkan saingan Liga Super musim depan.

“Exco bersetuju untuk mengadakan penggunaan VAR dalam Piala FA dan Piala Malaysia, namun bukan dalam aksi liga,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Berita Harian.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal FAM untuk melihat sama ada dapat mencapai sasaran untuk digunakan pada 2023. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.”

Gesaan terhadap penggunaan VAR sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu, namun masih belum dapat dilaksanakan berikutan kekangan kewangan serta kekurangan kemahiran dalam mengendalikan alat tersebut.

“Pengadil kita akan menjalani kursus VAR selama 6 hingga 9 bulan,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S Sivasundram.

“Kita juga berhubung dengan FIFA dan juga AFC bagi mendapatkan tenaga pengajar.”