Berita Asia

Stadium AFC berkapasiti 10,000 bakal dibina di Putrajaya

AFC dengan kerjasama FIFA akan membina sebuah stadium berkapasiti 10,000 penonton dinamakan Stadium AFC di Putrajaya.

Stadium ini bakal dibangunkan di tapak seluas 6.172 hektar dan dilengkapi dengan grandstand, kawasan boulevard dan atrium untuk penonton, pejabat pentadbiran dan tempat letak kereta bawah tanah.

Keluasaan lantai stadium kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti tempat duduk 10,000 dan akan mempunyai padang bola sepak berkualiti tinggi mengikut piawaian FIFA.

Antara beberapa ciri lain lain, stadium tersebut juga menyediakan kafeteria, ruangan media dan bilik pengulas media serta tarikan air pancut yang akan dibina di pintu masuk stadium.

Dana untuk membangunkan stadium itu akan dijana daripada peruntukan FIFA di bawah Program FIFA Forward untuk meneruskan misi AFC memperkasakan bola sepak negara ahli persatuan dan persatuan serantau.

FAM dan kerajaan Malaysia pula bertanggungjawab menyediakan tapak stadium dan sokongan logistik kepada projek tersebut.

“Dengan adanya Stadium AFC, kami mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi,” kata Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa

“Ibu pejabat AFC di sini menjadi lokasi penting pembangunan melalui pelbagai latihan, kursus, bengkel dan seminar dalam bidang teknikal dan pengadilan.

“Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya berterima kasih kepada FIFA atas kesediaan mereka untuk melakar era baharu kemajuan bersama AFC.

“Dan juga kerajaan Malaysia atas dedikasi terhadap pembangunan bola sepak di Asia, bukan sahaja melalui projek ini tetapi juga kerana sokongan yang telah diberikan sejak beberapa dekad.”

“Ia adalah projek yang hebat,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC ke-11 di Putrajaya.

“Saya sangat berbangga dan gembira kerana kami bekerjasama melalui stadium AFC dan FIFA ini yang melambangkan satu langkah baharu yang sangat penting bagi seluruh rantau Asia.”