Liga Super Malaysia Berita

Safiq Rahim tidak sangka dapat peluang kedua di JDT

Safiq Rahim tidak menyangka beliau mendapat peluang sekali lagi untuk beraksi dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Ini setelah pemain tengah berusia 34 tahun itu kembali ke JDT tahun lalu dan menjadi sebahagian daripada skuad utama yang memenangi Liga Super buat kali kelapan.

“Ia seperti hidup kita,” kata Safiq kepada Astro Arena ketika menjalani sesi latihan pra-musim JDT di Dubai, UAE.

“Apabila kita mendapat rezeki, apabila kita mendapat peluang, kita tidak akan mensia-siakan rezeki atau peluang yang telah diberikan sekali lagi.

“Saya hanya fikir ia adalah peluang untuk saya bangkit, kembali memberikan yang terbaik untuk pasukan dan terutama buat diri saya.

“Memang tiada siapa dapat menyangka perkara itu akan berlaku.

“Saya katakan kepada diri saya bahawa saya perlu membalasnya dengan sesuatu yang setimpal dengan kepercayaan yang telah mereka berikan kepada saya.

“Hidup sebagai seorang pemain bola sepak amat singkat, ringkas, jadi kita perlu menghargai apa yang anda ada ketika ini sebelum anda terlambat. Alhamdulillah, syukur.”

Selepas meninggalkan JDT pada 2018, Safiq menyangkakan karier profesional bolasepaknya sudah berakhir.

“Saya kira, selepas saya meninggalkan JDT dahulu, saya sudah boleh berhenti, saya sudah boleh tutup buku.

“Tetapi ada sesuatu yang tidak cukup, ada benda yang tidak kena, kerana impian saya adalah untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Mungkin Allah terima doa saya, dipermudahkan urusan, Alhamdulillah.”

Beliau bagaimanapun enggan menjangkakan bilakah beliau akan bersara, sebaliknya hanya fokus kepada kariernya.

Malah, beliau berhasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan sekali lagi.

“Saya tidak mahu bercakap berapa tahun lagi saya boleh bermain tetapi selagi saya masih boleh memberikan yang terbaik buat pasukan, komitmen buat pasukan ini, dalam latihan dan perlawanan, selagi itulah saya akan bermain.

“Saya sedia menyahut cabaran dan insya-Allah, jika diberikan peluang untuk kembali bersama pasukan kebangsaan, saya akan memberikan yang terbaik buat negara sebelum saya mengakhiri penampilan saya sebagai pemain bola sepak.

“Tetapi saya memerlukan sokongan daripada semua pihak, terutama keluarga saya, isteri saya, ibu-bapa saya.”