Ketua Jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak mengakui pasukannya bukan pilihan untuk memenangi Piala Malaysia 2021, jika dibandingkan dengan JDT.
Namun, ia memberikan kelebihan kepada KL City untuk beraksi tanpa sebarang tekanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
“Kami tidak mempunyai dua skuad, kami tidak mempunyai 10 pemain import seperti mereka,” kata Bojan dalam sidang media semalam.
“Ini akan memberikan masalah fizikal untuk kami pada perlawanan ini, tiada sesiapa yang boleh jadi penat, setiap orang akan bermain mati-matian dan berikan yang tebaik.
“Saya berharap ia akan menjadi permainan yang bagus dan berharap akan keputusan yang positif.
“Mereka pasukan paling kaya, bajet mereka 20 kali ganda, pemain dan fasiliti terbaik, jadi tiada tekanan untuk kami.”
Pada masa sama, Bojan juga merasakan para peminat bola sepak mahu melihat KL City memenangi Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.
“Semua anggap mereka akan menang, tetapi mungkin yang lain-lain di Malaysia menyokong kami, kerana kami bukan pilihan dan ia agak mudah untuk bermain.”
Dalam pada itu, pemain veteran KL City, Shukor Adan menyifatkan kejuaraan Piala Malaysia adalah hadiah persaraan terbaik untuk dirinya.
“Di usia 42 tahun saya tidak sangka untuk bermain di final dan saya berterima kasih kepada Bojan, walaupun mempunyai kurang minit permainan, tetapi masih mempercayai saya untuk bersama pasukan hingga ke final.
“Perlawanan akhir ini akan menjadi aksi terakhir saya sebagai seorang pemain bola sepak dan apa sahaja yang saya telah capai sepanjang karier, dan saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan KL City musim ini.”