Malaysia Berita

Brad Maloney: Kami sudah lama pantau V Annil, bukan main letak nama dalam skuad B23

Ketua jurulatih B-22 kebangsaan, Brad Maloney tampil mempertahankan pemilihan Annil Vigneswaran dalam skuad B-22 bagi kelayakan Piala Asia B-23 2022.

Ini setelah pemilihan pemain berusia 18 tahun itu dikritik sesetengah pihak kerana mendakwa Annil langsung tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sepanjang bersama kelabnya, SGV Freiburg di Jerman.

“Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya,” kata Brad dalam satu kenyataan rasmi oleh FAM.

“Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.

“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.

“Annil kemudian telah pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.”

Namun, katanya, sejak dari itu, mereka sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman.

“Dan berdasarkan video dan maklum balas yang diterima, cukup positif.

“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini.”

Annil melapor diri di hotel penginapan pasukan di Ulaanbaatar, Mongolia semalam, sebaik skuad B-22 kebangsaan tiba di sana.

Kelayakan Piala Asia B-23 2022 akan bermula pada 25 hingga 31 Oktober 2021.