Skuad kebangsaan dijangka beraksi dalam dua perlawanan antarabangsa pada September ini.
Setakat ini, tiga pasukan yang berada dalam pertimbangan bagi dua perlawanan antarabangsa adalah Palestin yang menduduki ranking ke-104 dunia, India (ke-105) dan Taiwan (ke-141).
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata dua perlawanan itu akan diadakan di Malaysia menerusi kaedah gelembung bioperubatan.
Katanya, FAM telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membentangkan sendiri kertas cadangan penganjuran perlawanan itu.
Malah, AFC turut bersetuju dengan FAM untuk bersama-sama membantu dalam pembentangan kertas cadangan itu bagi memperkukuhkan fakta dan hujah mengenai cadangan penganjuran perlawanan itu.
Katanya, AFC akan berkongsi butiran prosedur operasi standard (SOP), fakta dan pengalaman mereka sepanjang mengendalikan pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, dan Liga Juara-Juara AFC secara gelembung bioperubatan.
“AFC juga telah bersetuju untuk bekerjasama dan membantu FAM dalam pengendalian operasi dua perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan pada September itu nanti,” katanya kepada Bernama.
Justeru, Stuart yakin kertas cadangan serta perincian SOP dibuat bagi menganjurkan perlawanan itu secara gelembung bioperubatan akan dapat diluluskan MKN dan KKM memandangkan ia mengambil kira semua aspek keselamatan serta kesihatan bagi skuad kebangsaan dan juga pasukan lawan.
Ini kerana katanya, SOP dan kaedah gelembung bioperubatan telah dilaksanakan serta terbukti berkesan di peringkat global.
“FAM sama sekali tidak mahu ambil risiko ke atas keselamatan pemain, pegawai serta seluruh rakyat Malaysia dan FAM yakin gelembung bioperubatan ini dapat dilaksanakan dengan cara yang selamat dan terjamin untuk keselamatan semua pihak terlibat,” katanya.