Tan Cheng Hoe menyenaraikan kesebelasan utama terkuat bagi menghadapi Bahrain, namun dua kesilapan besar menyebabkan Malaysia tewas 2-0 kepada Bahrain dalam perlawanan persahabatan malam tadi.
Malaysia beraksi baik dalam separuh masa pertama, terutamanya Matthew Davies yang menjadi pemain paling menyinar apabila sering membuat serangan dan mudah menembusi pertahanan pasukan lawan.
Beliau juga membuat percubaan tepat ke gawang gol, serta satu hantaran yang tepat menuju ke arah Syafiq Ahmad, namun tandukan penyerang negara itu sekadar melewati palang gol.
Liridon Krasniqi juga beraksi dengan baik apabila berjaya mengawal bola dengan baik di bahagian tengah namun tidak banyak melakukan percubaan mahupun mencipta peluang ke arah gol.
Malaysia sebaliknya dihukum dengan kesilapan apabila Bahrain mendahului dengan gol menerusi sepakan penalti selepas Irfan Zakaria bertindak memeluk rapat pemain lawan sehingga terjatuh ke dalam kotak penalti.
Tan Cheng Hoe membuat pertukaran di separuh masa kedua, namun corak permainan tidak banyak berubah.
Malaysia sebaliknya dihukum sekali lagi apabila Farizal Marlias gagal mengawal bola dengan baik, bola yang dihantar oleh Liridon sehingga menyebabkan Bahrain mudah menjaringkan gol kedua pada minit ke-60.
Beberapa minit kemudian, skuad Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menjaringkan gol apabila bola hasil sepakan percuma Aidil Zafuan jatuh ke arah Junior Eldstal namun beliau gagal menyudahkannya walaupun berada di hadapan gol.
Brendan Gan dan Norshahrul Idlan Talaha juga mempunyai peluang namun bola itu akhirnya diselamatkan oleh penjaga gol Bahrain.
Lebih malang apabila Liridon dilayangkan kad kuning kedua kerana menunjukkan rasa tidak puas hati di hadapan pengadil.
Arif Aiman dan Luqman Hakim Shamsudin masuk pada 10 minit terakhir perlawanan, namun tidak cukup masa untuk memberikan impak sehingga tamat perlawanan.
Malaysia akan bertemu UAE pada Jumaat, 4 Jun di Dubai untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.