Datuk Verdon Bahanda membuat keputusan mengejutkan apabila meletakkan jawatannya sebagai CEO Sabah Football Club Sdn Bhd berkuatkuasa 21 Disember, selepas hanya sebulan memegang jawatan tersebut.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas bertemu dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu merombak kepimpinan pengurusan dan berjanji akan membayar balik segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
“Saya sedar, walaupun saya adalah pemilik saham terbesar dalam Sabah FC iaitu pegangan sebanyak 70% berbanding SAFA yg memiliki 30% tetapi saya masih perlu mendapatkan mandat dari semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC untuk membuat keputusan-keputusan kritikal dan keputusan besar sepanjang masa walaupun di bawah pemilikan saya,” katanya dalam kenyataan.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi menyediakan semua keperluan Sabah FC termasuk kewangan dari dana saya sendiri bagi musim hadapan dan juga menyelesaikan semua tunggakan hutang SAFA.
“Ramai yang sedar bahawa kehadiran saya adalah untuk menyelamatkan keadaan dengan menyelesaikan beberapa perkara asas bermula dari masalah kewangan dengan menggunakan dana saya sendiri untuk membayar tunggakan hutang yang ditanggung oleh SAFA.
“Seharusnya, saya mempunyai hak untuk mendapatkan hak pemilikan dalam Sabah FC memandangkan kedudukan saya sebagai CEO yang dilantik adalah sangat rapuh dan boleh dilucutkan bila-bila masa mengikut kehendak kepimpinan SAFA dan akhirnya, SAFA secara sebulat suara dalam mesyuarat SAFA pada 5 Disember 2020 telah setuju untuk memberikan hak 70% saham Sabah FC kepada saya.”
Verdon juga meluahkan rasa kecewanya terhadap individu tertentu yang menjadi punca beliau meletakkan jawatan.
“Selepas mendapat hak pemilikan dalam Sabah FC, saya merasakan semua masalah sudah selesai dan saya boleh menumpukan sepenuhnya usaha untuk memantapkan pasukan serta memperbaiki kelemahan yang ada tetapi malangnya, drama beberapa individu di dalam SAFA tidak berakhir lagi.
“Apapun, saya hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak saham saya dalam Sabah FC kepada SAFA dan peletakan jawatan dalam semua jawatan saya selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan yang telah saya keluarkan sebelum ini.”
Namun, Verdon memohon maaf kepada penyokong Sabah kerana mengundur diri terlalu awal dan berharap Sabah FC akan diuruskan dengan lancar di masa akan datang.
“Saya memohon maaf kepada semua pihak khususnya penyokong Sabah FC sekiranya terdapat kesilapan yang saya lakukan sepanjang tempoh saya mengendali pasukan Sabah FC yang cukup singkat ini. Percayalah, apa saja yang saya lakukan adalah usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian dari keputusan yang saya buat adalah di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan Sabah sebelum ini.
“Saya juga mohon maaf seikhlas dan setelus hati saya kepada semua pemain Sabah FC yang sudahpun mula menjadi sebahagian dari hidup saya beberapa minggu ini kerana terpaksa meninggalkan pasukan Sabah FC terlalu awal. Anda adalah permata yang cukup berharga dan saya percaya anda semua akan terus menabur bakti kepada pasukan Sabah tercinta kita. Janganlah jadikan kemelut dalaman pengurusan ini sebagai batu halangan untuk anda mencapai kejayaan.
“Saya mendoakan sentiasa agar Sabah FC terus maju jaya di bawah pengurusan yang baru dan saya yakin,dengan kepimpinan YB Dato Sri Bung Mokthar Radin sebagai peneraju baru SAFA akan dapat memberikan impak yang besar kepada kemajuan bola sepak khususnya Sabah FC.”