Liga Super Malaysia Berita

Selepas terpalit dengan kontroversi, Sanusi mahu letak jawatan presiden Kedah FA?

Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden Kedah FA.

Hasratnya itu diluahkan di akaun Facebook miliknya, selepas dilanda dengan pelbagai kontroversi melibatkan bolasepak Kedah.

“Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.

“Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning.”

Sanusi berdepan kritikan hebat oleh peminat Kedah selepas menukar nama pasukan kesayangan mereka kepada Darulaman FC.

Malah, logo baharu pasukan juga dikritik kerana tidak selari dengan cita rasa peminat.

Sejak memegang jawatan presiden pada bulan Mei, Sanusi berdepan dengan beberapa kontroversi seperti isu tunggakan gaji, isu pemilikan pasukan serta kelewatan melengkapkan proses penswastaan kelab.

Mungkin Kedah benar-benar memerlukan seorang pemilik yang bertanggungjawab menguruskan pasukan, sama seperti apa yang sedang dilakukan oleh Norizam Tukiman di Kelantan.