Kolum

FPL: Pemain tumpuan

Perlawanan ketujuh Liga Perdana Inggeris bakal diteruskan minggu ini. Tiada yang menarik pada minggu ini melainkan satu perlawanan mencuri tumpuan diantara Manchester United dan Arsenal di Old Trafford.

Pada minggu lepas, pengurus pasukan FPL yang memiliki para pemain Manchester City seperti Bernardo Silva, Kevin De Bruyne, dan Nicolas Otamendi pasti mengukir senyuman lebar selepas melihat hasil yang berbaloi. Kutipan mata yang tertinggi pada minggu lepas jatuh kepada Bernardo Silva dengan jumlah 19 mata apabila berjaya mencatat hatrik ketika menang besar 8-0 keatas Watford.

Dua penyerang yang berjaya mengekalkan persembahan cemerlang adalah Sergio Aguero dan Pierre Emerick Aubameyang manakala Teemu Pukki telah mengecewakan para pengurus FPL buat kali kedua musim ini.

Tiga pemain tumpuan pada minggu ini dipilih berdasarkan prestasi semasa bersama pasukan masing-masing serta peluang untuk mengumpul mata menentang pasukan lawan.

Tammy Abraham (Chelsea)

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Penggempur utama The Blues ini gagal menyumbang jaringan pada minggu lepas ketika aksi menentang Liverpool di Stamford Bridge. Namun begitu, ianya bukanlah hujah untuk mengatakan pemain ini tidak beraksi dengan baik. Kecekapan penjaga gawang Liverpool, Adrian menjadi penghalang daripada pemain ini melakukan jaringan. Beraksi menentang Brighton di halaman sendiri pasti memberi kelebihan kepada Abraham. Pemain muda ini telah mencetak dua gol pada aksi menentang Sheffield United hujung bulan lepas. Khidmat pemain ini pasti menjadi sandaran utama bukan sahaja kepada pengendali Chelsea, Frank Lampard tetapi juga kepada semua pengurus pasukan FPL.

Mohamed Salah (Liverpool)

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Penyerang kelahiran Mesir ini sering menyumbangkan mata kepada pasukan-pasukan FPL. Berdasarkan rekod enam perlawanan yang lalu, Salah telah mencatat 50 mata setakat ini. Salah menjaringkan gol dalam tiga perlawanan iaitu ketika menentang Norwich City, Arsenal, dan Newcastle United yang mana ketiga-tiga perlawanan tersebut berlangsung di Anfield. Namun, tidak mustahil untuk Salah mencipta nama sebagai penjaring pada perlawanan menentang pendatang baru di Liga Perdana Inggeris, Sheffield United. Tambahan pula, Liverpool yang dahagakan kemenangan dan mahukan mengekalkan rekod bersih menang semua perlawanan tanpa sebarang kekalahan.

Heung Min Son (Tottenham Hotspur)

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Pemain pasukan kebangsaan Korea Selatan ini menunjukkan persembahan cemerlang di stadium sendiri. Son telah menyumbat dua gol pada aksi pertama di stadium baru milik Spurs musim ini ketika melawan Crystal Palace. Ketajaman penyudah pemain ini sememangnya tiada tandingan. Kebolehan menjaringkan gol menggunakan kedua-dua belah kaki juga sering menjadi igauan pemain pertahanan pasukan lawan. Son pasti mahu buktikan sesuatu kepada peminat Spurs selepas mereka kecundang di tangan Colchester United dalam saingan Piala Carabao. 

Pemain manakah yang mejadi pilihan anda?