Pengendali Perak, Mehmet Durakovic tanpa berselindung memuji anak buahnya yang berjaya menumpaskan PKNP FC, 3-1 di dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Kemenangan ini memberi tiga mata penuh kepada pasukan Perak dan meletakkan pasukan tersebut di kedudukan ke lima Liga Super dengan dibezakan satu mata dengan Selangor di tangga ke empat.
“Saya perlu jujur, pemain saya bermain dengan baik, terutama pemain tempatan, mereka mengagumkan,
“Dari awal hingga ke akhir perlawanan kami mengawal perlawanan, ia adalah kemenagan yang berharga buat kami.” Katanya kepada media sejurus tamat perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, import baharu Perak dari Brazil, Raianderson Da Costa Morais atau lebih dikenali Careca menyumbat gol pertama Perak hasil daripada kesilapan pertahanan PKNP pada minit ketujuh.
Perak terus menggandakan asakan mereka ke kubu PKNP FC dan hasilnya mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-29 dengan Ronaldo Henrique Silva muncul penjaring kedua menerusi penalti.
PKNP cuba merapatkan jurang melalu Yashir Pinto pada minit ke-37 selepas kesilapan pertahanan Perak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Anak buah Mehmet sekali lagi mengarang dengan gol ketiga melalui sepakan percuma Nazirul Naim yang ditampan mudah oleh Careca untuk gol ketiga tuan rumah.
Perak bakal bertemu Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.