Biarpun tewas pada aksi Liga Juara-Juara musim ini di tangan Tottenham, pengurus Manchester City, Pep Guardiola terus meletakkan sasaran empat trofi untuk musim hadapan.
Guardiola nyata kecewa selepas disingkirkan oleh Spurs dalam aksi kejohanan eropah melalui keputusan Video Bantuan Pengandil (VAR) di akhir minit perlawanan.
“Saya bukan mengatakan tidak mahu menang perlawanan, kadang kala saya tidak faham mengenainya,” kata Guardiola.
“Jika saya dikalahkan oleh pasukan lawan, saya tidak akan putus asa kerana manalah tahu perlawanan berikutnya akan menjadi lebih bagus.
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu akan berdepan Tottenham sekali lagi dalam saingan liga yang dianggap penentuan ‘hidup-mati’ hari ini (jam 7.30 malam waktu Malaysia).
“Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan. Saya akan cuba pada perlawanan yang bakal berlangsung ini.
“Saya akan terus memburu empat piala musim depan, itu impian saya.”
Guardiola mahu pemain melupakan kegagalan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan meletakkan fokus kepada perlawanan hari ini.
“Saya tidak tahu. Sebelum perlawanan, kamu tidak akan tahu bagaimana cara untuk bertindak, tapi kita akan beraksi dengan sebaiknya.”
“Untuk mencapai kesempurnaan memang sukar, tapi kamu perlu cuba mendapatkannya. Keputusan sempurna mungkin menang 4-0, mungkin 4-3, atau 7-0,” kata Guardiola.
“Kita cipta peluang untuk menjaringkan tujuh gol. Kesempurnaan sebenarnya tidak wujud, tetapi kamu mesti cuba dapatkannya.”
“Pada peringkat ini, kami perlu kukuhkan barisan pertahanan dan kawalan mesti lebih padat, tetapi secara keseluruhanya kami perlu melakukan peningkatan.
“Namun dengan corak permainan yang kita tunjukan kepada semua di sini dan kepada dunia, kami tidak akan mengubah hala tuju kami,” katanya.