Gol Cristiano Ronaldo menjamin Supercoppa Italiana untuk Juventus selepas kemenangan 1-0 ke atas Milan yang bermain dengan 10 pemain.
Pemain antarabangsa Portugal itu menanduk masuk untuk gol pertaman Juventus pada separuh masa kedua untuk memastikan Juventus memenangi trofi itu buat kali pertama sejak 2015.
Ia juga adalah piala pertama Ronaldo setelah membuat perpindahan daripada Real Madrid ke Juventus musim panas lalu.
Juve menguasai babak pertama dengan Douglas Costa memulakan cubaan dengan merembat ke gawang AC Milan sebelum João Cancelo terlepas sasaran beberapa minit selepas itu.
Blaise Matuidi hampir pasti meletakkan Juve didepan setengah jam wisel pertama dibunyikan tetapi berada dalam keadaan offside. Selepas itu Ronaldo mencuba tiga minit selepas itu dengan tendangan gunting tetapi terkena gawang.
Juventus hampir dihukum oleh pemain tengah AC Milan, Hakan Calhanoglu dengan rembatan bawah tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny.
AC Milan sekali lagi datang menyerang menerusi Patrick Cutrone yang sudah berjaya menewaskan Szczesny tetapi bolanya jauh melepasi gawang gol.
Gol kemenangan hadir pada minit 61 apabila Ronaldo berjaya menanduk masuk bola hantar Miralem Pjanic bagi menewaskan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.
Ronaldo yang telah menjaringkan 14 gol bersama Juventus dalam 19 penampilan menyatakan bahawa beliau merasa gembira untuk memulakan tahun ini dengan piala bersama Juventus.
“Saya meraih gelaran pertama bersama Juventus, jadi saya amat gembira,” kata Ronaldo yang kini memiliki 28 trofi termasuk lima Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga dari England, Sepanyol serta Kejuaraan Eropah bersama Portugal.
“Kami sudah mendapat piala ini, kini kami mesti terus bekerja keras untuk menjulang trofi seterusnya.” Katanya