Luar Negara Berita

Protes Sebelum Sepak Mula Juventus, AC Milan Di Arab Saudi

Penyerang berbisa Juventus, Cristiano Ronaldo bakal turun dengan misi membawa pulang kejuaraan sulung tahun 2019 apabila mereka akan berentap di pentas akhir Piala Super Itali biarpun menghadapi protes daripada kumpulan hak asasi manusia.

Perlawanan yang bakal menyaksikan Juventus, bekas juara Seria A dan Piala Itali musim lalu bertemu dengan AC Milan di Stadium King Abdullah Sports City di Jeddah, Khamis ini. Perlawanan yang dilanda kontroversi apabila kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kaum wanita untuk menjadi penonton pada perlawanan tersebut telah menaikkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia.

Ini adalah kali ke-10 Piala Super Itali dimainkan diluar Itali setelah mencapai edisi ke-31. Dengan Amerika Syarikat, China dan Qatar pernah menjadi tuan rumah untuk perlawanan akhir.

Kemarahan kumpulan hak asasi manusia membuak-buak apabila Serie A dalam satu pengumuman cara pembelian tiket telah menyatakan bahawa kebanyakkan kategori tiket hanya untuk kaum lelaki. Bagi kaum wanita yang berminat untuk menonton perlawanan tersebut, mereka boleh mendapatkan tiket ditempat duduk kawasan ‘keluarga’.

Dengan hanya kapasiti stadium yang hanya mampu memuatkan 60,000 orang, ia menimbulkan rasa kurang senang Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini. Beliau mengecam tindakan tersebut dan menyatakan sekatan tersebut sebagai ‘menjijikkan’.

“Untuk memastikan Supercoppa Itali dimainkan di negara Islam di mana wanita tidak boleh pergi ke stadium melainkan mereka disertai dengan seorang lelaki adalah amat menyedihkan, ia menjijikkan, saya tidak akan menonton perlawanan ini,” kata Salvini, seorang peminat AC Milan.

Pegawai Tertinggi Serie A, Gaetano Micciche, mempertahankan keputusan liga bolasepak tersebut untuk bermain di Arab Saudi dan menganggap ia sebagai salah satu yang sejarah.

“Sehingga tahun lepas, wanita (di Arab Saudi) tidak dapat menghadiri sebarang acara sukan,” katanya.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan bahawa dalam perlawanan seterusnya kami bermain di negara ini, wanita boleh mengakses semua stadium.” Kata beliau.