Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Mohd Zan Mat Aris selaku ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan.
Bekas jurulatih Melaka itu diharapkan dapat membawa Negeri Sembilan mengharungi Liga Perdana musim hadapan serta berjaya membawa pasukan itu kembali ke Liga Super.
“Saya berharap Mohd Zan dengan bantuan penolong jurulatih berpengalaman, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad dapat mengendalikan pasukan ini dengan baik, selain memberi peluang kepada anak muda tempatan menyertai pasukan ini,” katanya kepada Berita Harian.
Selepas menandatangi kontrak di Majlis Menandatangani Kontrak Ketua Jurulatih Liga Premier Negeri Sembilan di Wisma PBNS. Mat Zan menyatakan akan cuba untuk membentuk satu pasukan yang mantap yang merangkumi kekuatan dari segi semangat dan motivasi yang tinggi.
“Saya ada menerima panggilan telefon daripada beberapa pemain yang menawarkan diri untuk menyertai pasukan ini, namun akan melihat dahulu prestasi mereka sebelum memberi kata putus.
“Apa yang saya perlukan dalam pasukan ini adalah pemain yang berkualiti serta bersemangat dan ini sebenarnya menjadi antara cabaran untuk saya,” katanya kepada Berita Harian.