Malaysia Berita

Badan Bebas Pengadil Akan Ditubuhkan – TMJ

Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Twitter telah mengumumkan akan mewujudkan satu Badan Bebas Pengadil (Independent Refereeing Body) bermula musim depan.

Perkara ini diumumkan Tunku Ismail selepas melihat beberapa keputusan kontroversi oleh pengadil, Suresh Jayaraman pada perlawanan akhir Piala Malaysia diantara Perak dan Terengganu.

Ketika ini, FAM adalah badan yang bertanggungjawab penuh dalam mengendali pengadil Liga-M.

“MFL membuat keputusan untuk menubuhkan Badan Bebas Pengadil untuk meningkatkan standard pengadil. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut berada dalam badan bebas itu yang akan berfungsi menjelang musim 2019,” katanya.

Dalam kenyataan Tunku, beliau membayangkan akan menghantar pengadil tempatan ke Jepun bagi meningkatkan mutu pengadilan serta akan membawa masuk beberapa jurulatih luar bagi mengendali Badan Bebas Pengadil.

“Kami juga akan menghantar 25 pengadil baharu ke Jepun untuk meningkatkan kualiti mereka. Pengadil tempatan dan pengadil asing dari Jepun, England dan negara lain antara yang turut terbabit dalam Badan Bebas Pengadil.

“Pengadil tempatan dan pengadil asing akan bekerjasama untuk meningkatkan standard. Kami juga merancang untuk mengadakan kursus pengadil yang dikendalikan oleh bekas pengadil Liga Perdana Inggeris,” jelas Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM.

Langkah ini diambil bukanlah untuk memperlekeh pengadil tempatan, tetapi meningkatkan lagi mutu pengadilan Liga-M