Malaysia

Kuala Lumpur berang FAM ganggu persiapan skuad SUKMA

Persiapan skuad Kuala Lumpur untuk Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) terjejas kerana dua pemain utama mereka telah dipanggil menyertai skuad bawah 19 tahun kebangsaan.

Dua pemain Sukma Wilayah Persekutuan, Muhd Azhar Apandi dan Nabil Hakim Bokhari merupakan sebahagian daripada pemain yang dibawa ke Oman sebagai persiapan skuad bawah 19 tahun menjelang Kejohanan AFC Bawah 19 tahun di Indonesia yang akan berlangsung pada 18 Oktober hingga 4 November nanti.

Pengurus pasukan Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar berkata Kuala Lumpur sebenarnya enggan melepaskan dua pemain tersebut dan mahu FAM menyusun jadual dengan lebih teratur selepas ini.

“Kita ada dua pemain, Nabil dan Azhar yang dipanggil ke skuad bawah 19 tahun. Kami sebenarnya tidak melepaskan dua pemain ini kerana mereka merupakan pemain tonggak pasukan.”

Selain Nabil dan Azhar, seorang lagi pemain skuad Wilayah Persekutuan,Muhd Talhah Rosli juga telah meninggalkan pasukan untuk mewakili skuad universiti Malaysia dalam Kejohanan antara Universiti di Korea Selatan.

“Dalam hal ini saya sudah nyatakan mereka tidak dilepaskan kerana ini mengganggu persiapan pasukan, tetapi malangnya ketiga-tiga pemain ini sudah berangkat ke Oman dan Korea Selatan. Saya harap FAM selepas ini menyusun jadual dengan lebih teratur. Bulan ini ada Piala Malaysia, Sukan Asia, Sukan Malaysia. Mungkin sepatutnya SUKMA diadakan lebih awal untuk mengelak perkara ini berlaku.”

Skuad Wilayah Persekutuan akan berdepan Johor (8 September) dan Terengganu (12 September) di peringkat kumpulan. Wilayah Persekutuan mensasarkan untuk memenangi pingat emas dalam acara bolasepak.