Pengurus skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Yusoff Mahadi mengakui pasukan negara berdepan cabaran yang lebih sukar pada pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC pada Mac depan meskipun mempamerkan aksi memberangsangkan di Sukan Asia 2018 baru-baru ini.
Katanya, kejutan anak buah Datuk Ong Kim Swee itu berjaya membuka mata pasukan lain yang pastinya akan lebih berwaspada pada kejohanan selepas ini.
“Pasukan lain sudah memandang tinggi kepada pasukan negara, kalau dulu mereka anggap kita pasukan belasahan dan lubuk untuk mendapat mata, tapi sekarang berbeza. Mereka pasti akan lebih serius bila bertemu pasukan negara dan ini akan memberi lebih tekanan kepada kita.
“Jadi kami kena persiapkan pasukan lebih rapi menjelang pusingan kelayakan Kejohanan AFC itu nanti kerana ia penting untuk ke pusingan akhir bagi merebut tempat ke Sukan Olimpik 2020.
“Lebih separuh daripada pemain yang dipanggil menjalani latihan bersama pasukan sebelum ini masih layak untuk beraksi di pusingan itu meskipun pemain seperti Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad, Irfan Zakaria dan Syazwan Andik sudah lebih usia,” katanya kepada Berita Harian.
Kemaraan Malaysia pada Sukan Asia disekat selepas tumpas 0-1 kepada Jepun pada pusingan kedua sekalipun melakukan kejutan muncul juara Kumpulan E dengan menewaskan juara bertahan Korea Selatan 2-1.
Sebelum itu juga, Malaysia berjaya melangkah ke suku akhir Kejohanan AFC di China pada Januari lalu.
Yusoff juga percaya antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah soal pelepasan pemain memandangkan pusingan kelayakan Kejohanan AFC pada Mac depan berlangsung serentak dengan liga tempatan.
“Mungkin kami akan ambil pendekatan dengan melakukan rundingan awal dengan pasukan atau kelab. Kami harap akan mendapat kerjasama lebih baik dan masalah pelepasan tidak timbul lagi. Dengan pencapaian skuad muda ini di Sukan Asia, saya percaya semua pihak akan lebih terbuka untuk melepaskan pemain yang dipanggil,” katanya.
Sebelum ini, Kim Swee tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Nor Azam Azih dan pertahanan Matthew Davies kerana tidak mendapat pelepasan daripada Pahang.